Anda di sini

Warga asing peras ugut rakyat senegara

Advertisement

GEORGE TOWN: Dua lelaki termasuk seorang anggota RELA yang menyamar sebagai polis ditahan dalam kes mengugut rakyat Myanmar di Lebuh Maccalum di sini awal pagi semalam.

Turut ditahan seorang warga Myanmar yang dipercayai menjadi orang tengah.

“Penahanan mereka susulan laporan yang dibuat seorang lelaki Myanmar yang mendakwa dia dipukul dan diperas ugut, manakala dua rakannya diculik dua lelaki tempatan berkenaan.

“Dua lelaki tempatan itu dilapor menghubungi mangsa dan mengatur pertemuan berhampiran jeti Pengkalan Weld dan meminta mangsa membawa wang RM2,000 jika mahu rakannya dibebaskan,” kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid.

Beliau berkata mangsa kemudiannya menemui dua lelaki terbabit pada jam 10 malam kelmarin dan seorang daripada mereka merampas wang dalam dompetnya sebelum memukul dan cuba menarik mangsa ke dalam kereta.

Mior Faridalatrash berkata mangsa bagaimanapun dapat melarikan diri dan memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum operasi mengesan kumpulan berkenaan dilancarkan

“Polis kemudian mengesan kereta yang dinaiki dua lelaki berkenaan di hadapan Jeti Pengkalan Raja Tun Uda dan mereka dapat ditahan di Lebuh Maccalum iaitu dua kilometer dari jeti tersebut,” katanya.

Beliau berkata terdapat dua lelaki tempatan dan tiga lelaki Myanmar dalam kereta berkenaan dan hasil siasatan mendapati dua daripada rakyat asing itu merupakan mangsa culik.

Polis turut merampas wang tunai RM1,300 dan sekeping kad Rela daripada dua lelaki tempatan terbabit.

Mereka dan orang tengah itu kini direman.

Dalam satu lagi kes culik dan peras ugut, dua warga Bangladesh ditahan di sebuah rumah di Taman Desa Permai, Sungai Dua malam kelmarin.

Kes turut membabitkan rakyat senegara.

Mior Faridalatrash berkata dua suspek itu ditahan hasil laporan mangsa setelah dia dibebaskan para penculiknya selepas keluarganya membayar wang tebusan RM2,000.

Beliau berkata mangsa dilapor diculik di Jalan Kurau, Jelutong kelmarin oleh tujuh lelaki yang menaiki dua buah kereta.

Seorang daripada mereka dilapor menghubungi abang mangsa dan meminta wang tebusan sekiranya tidak mahu adiknya dibunuh. — Bernama

 

Advertisement