Anda di sini

SPRM sasar tingkat keyakinan masyarakat kepada 70 peratus tahun ini

Advertisement

KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyasarkan untuk meningkatkan tahap keyakinan masyarakat terutama golongan belia terhadap agensi penguatkuasaan itu kepada 70 peratus tahun ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata berdasarkan kajian SPRM tahun lalu, tahap keyakinan golongan belia terhadap agensi itu ialah sebanyak 64.4 peratus.

“Apabila kita mengambil kira kajian dilakukan pihak universiti setiap tahun, sektor yang kurang keyakinan terhadap SPRM ialah golongan belia dengan catatan 64.4 peratus, katanya.

Manakala secara keseluruhannya, beliau berkata tahap keyakinan rakyat di negara ini terhadap SPRM ialah 67.8 peratus dan pada tahun ini badan itu akan cuba mencapai sehingga 70 peratus.

“Kalau standard antarabangsa, ia mesti melebihi 80 peratus tahap keyakinan orang awam terhadap agensi penguatkuasa seperti mana Hong Kong dan kita akan berusaha mencapainya secara beransur-ansur,” katanya.

Shamshun Baharin berkata demikian pada sidang akhbar selepas Forum Pencegahan Rasuah Tanggungjawab Bersama yang dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pahang, Datuk Mohd Johari Hussain di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Pengarah SPRM Pahang, Zainul Darus, Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) Khairul Amin Osman, Naib Presiden 1 MBNP, Wan Emril Nizam Wan Embong dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Mohd Soufi Mohd Ibrahim.

Program anjuran MBNP dan SPRM dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang itu bertujuan  memberi pendedahan kepada golongan belia daripada 26 badan gabungan di negeri ini tentang peranan SPRM dan masyarakat, bahaya gejala rasuah serta marapatkan hubungan antara belia dan agensi penguatkuasaan itu.

Shamshun Baharin berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan inisiatif yang diambil oleh MBNP dan kerajaan negeri Pahang untuk mengadakan program seperti hari ini kerana ia membantu SPRM mencapai sasaran itu.

“Sekiranya hanya mengharapkan kekuatan SPRM, ia agak sukar dicapai kerana kami juga menghadapi kekangan. Walaupun begitu, tahun lalu kita telah mengambil beberapa pendekatan seperti mewujudkan sekretariat pencegahan rasuah di universiti dan di peringkat kementerian kita bermula di Institut Kemahiran Belia Negara.

Pada tahun ini pula kita akan mengembangkannya di Institut Latihan Perindustrian. Kita memilih cara ini kerana golongan belia merupakan majoriti dan kita menggunakan semua medium yang ada untuk memberi pendedahan awal kepada golongan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shamshun Baharin berkata berdasarkan statistik dari tahun 2003 hingga 2012, golongan belia yang terlibat dengan rasuah adalah sebanyak 40 peratus.

“Bagi golongan bawah 40 tahun, mereka yang terlibat dengan rasuah mencatatkan 54 peratus manakala bagi bawah 35 tahun ialah sebanyak 40 peratus daripada 5,799 tangkapan dilakukan dalam tempoh 10 tahun.

Remaja yang paling muda melakukan jenayah ini dilaporkan seawal usia 16 tahun dan kesalahan dilakukan mereka meliputi menerima dan memberi rasuah serta membuat tuntutan palsu,” katanya. — Bernama

Advertisement