Anda di sini

Rumah tidak berkualiti tidak dapat didiami

Advertisement

Oleh Watt Zacchaeus //

Rumah PBR dibina di Jalan Ming Tee, Bintangor tidak ikut standard sepatutnya

ADA IKAN: Ting (berdiri kanan) menunjukkan seekor ikan yang terdapat di dalam sebuah bilik rumah PBR terbabit.

BINTANGOR: Sebuah rumah dibina di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) di Jalan Ming Tee di sini didapati kurang berkualiti serta tidak mengikut standard sepatutnya.

Keadaannya sungguh mengecewakan dan menunjukkan kontraktor melakukan kerja-kerja pembinaan seperti melepas batuk di tangga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Ting Tze Fui serta ahli-ahli Jawatankuasa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Bintangor memantau rumah terbabit selepas menerima aduan.

Beliau berkata rumah tersebut diluluskan di bawah PBR 2013 oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW).

“Agensi pelaksana program tersebut ialah sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini. Menurut notis ditampalkan di pintu rumah PBR itu, rumah tersebut dibina kontraktor tempatan di sini dan mulai dibina pada 16 Jun 2013 dan siap kira-kira dua bulan.

“Namun, sehingga kini penerima rumah PBR terbabit tidak dapat tinggal di rumah itu.

“Mereka sekeluarga masih tinggal di rumah lama yang uzur.

Ini kerana, keadaan rumah itu sungguh mengecewakan walaupun sudah siap.

“Ia sekadar berbumbung, berlantai dan berdinding sahaja.

Struktur pembinaan yang lain sungguh mengecewakan,” katanya kepada pemberita selepas memantau rumah terbabit, di sini semalam.

Katanya didapati banyak masalah tertimbul semasa rumah kos rendah tersebut dibina.

Salah satunya permukaan lantai bilik rumah tersebut mengalami pemendapan yang amat serius iaitu sebanyak tiga inci.

“Tambahan pula, rumah PBR terbabit tidak mempunyai tadahan air hujan di luar rumah mengakibatkan air hujan mengalir masuk ke dalam rumah.

“Pemendapan permukaan lantai bilik tersebut amat serius sehingga terdapat ikan hidup di dalam bilik yang bertakung air hujan sejak sekian lama.

Jadi adakah bilik seperti ini sesuai didiami?

“Selain itu, ia juga terdedah kepada aedes dan nyamuk kerana takungan air hujan menyebabkan air susah hendak keluar. Ini sangat berbahaya,” kata Ting.

Sementara itu, penerima rumah PBR terbabit pernah membuat aduan kepada pejabat PBT di sini tetapi sehingga kini tiada apa-apa tindakan pihak berkenaan menyelesaikan masalah itu.

“Kontraktor juga tidak menghiraukan aduan dibuat terhadap rumah tersebut.

Oleh yang demikian, walaupun rumah PBR itu sudah siap dibina hampir dua tahun penerima masih tidak dapat berpindah ke rumah terbabit,” jelasnya.

Ting memberitahu, PBR itu bertujuan memberi tempat kediaman kepada golongan miskin dan kurang berupaya.

“PBT berkenaan sebagai agensi pelaksana harus memastikan setiap kontraktor membina PBR adalah selamat dan sesuai didiami rakyat mengikut standard sepatutnya.

“Jika kontraktor itu gagal mencapai tahap diperlukan maka PBT harus mengambil tindakan dan menggesa kontraktor supaya membaik pulih rumah tersebut secepat mungkin,” katanya.

Beliau menambah, masalah yang timbul ke atas rumah terbabit bukanlah satu perkara baharu.

Kerajaan tidak harus membiarkan masalah seperti itu tanpa sebarang tindakan.

“Bagi memastikan kontraktor membina rumah PBR dengan bertanggungjawab, kerajaan harus memainkan peranan penting memeriksa kualiti rumah sebelum membayar kos pembinaan kepada kontraktor terbabit.

“Saya akan menulis surat aduan kepada PBT itu bersama gambar-gambar yang dirakamkan.

“Saya minta agar pihak berkenaan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah yang timbul di rumah tersebut,” katanya.

Advertisement