Anda di sini

Pendidikan perlu jadi agenda penting keluarga: Muhyiddin

Advertisement

MUAR: bu bapa diingatkan agar menjadikan pendidikan sebagai agenda penting dalam keluarga selaras usaha kerajaan melahirkan lebih ramai generasi terdidik bagi masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata melalui pendidikan sajalah, ibu bapa dapat mengubah masa depan anak mereka terutamanya untuk keluar daripada kancah kemiskinan.

Katanya, atas dasar itu, kerajaan sentiasa memperuntukkan hampir 21 peratus daripada bajet negara untuk pendidikan bermula daripada peringkat prasekolah sehingga universiti serta melatih kira-kira 600,000 guru, setiap tahun.

“Soal paling penting kita tidak boleh abaikan ialah ilmu pendidikan. Kalaupun kita miskin, kita tak boleh jadikan ia penghalang kepada anak-anak.

“Kemiskinan boleh diatasi dengan ilmu,” katanya ketika berucap di Dewan Seri Permata, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan UPSR dan PT3 bagi Parlimen Pagoh di sini.

Beliau berkata pendidikan dilihat sebagai pelaburan masa depan dalam usaha memperbaiki taraf hidup masing-masing.

“Kalau kita sebagai ibu bapa tidak beri peluang dan beri mereka ilmu, anak-anak tak boleh mendapat pekerjaan sekali gus keluar daripada kancah kemiskinan.”

“Malaysia semakin maju hari ini adalah disebabkan kebanyakan anak-anak kita berpendidikan,” kata Muhyiddin.

Menjawab dakwaan sesetengah pihak yang kononnya sistem pendidikan negara tidak setanding negara maju, beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk memperbaiki sistem pendidikan sedia ada.

“Dasar yang kita buat bukan untuk rosakkan tapi untuk terus perbaiki proses penilaian dalam sistem pendidikan kita,” katanya.

Bagi Parlimen Pagoh, sebanyak 82 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran untuk UPSR dan 28 calon memperoleh 6A ke atas bagi ujian PTS. — Bernama

Advertisement