Anda di sini

Ugut KPN perbuatan kurang ajar, kata penganalisis jenayah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kejadian ugutan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar merupakan perbuatan kurang ajar dan perlu dikenakan tindakan tegas, kata Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya.

Mengulas klip video yang memaparkan tiga lelaki bertopeng menggelar diri mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi yang mengancam untuk membunuh KPN dan meletupkan keretanya, Saharuddin berkata perbuatan itu mencabar institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tindakan perundangan sewajarnya perlu diambil ke atas kumpulan terbabit supaya perkara ini tidak berulang di masa hadapan. Pihak berkuasa perlu memandang serius kes ini kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti PDRM pada pandangan masyarakat.

“Tindakan anasir kumpulan ini bukan sahaja menjejaskan imej PDRM malah menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat di negara ini…semua individu perlu menghormati PDRM,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.

Beberapa hari lepas, video berdurasi satu minit 27 saat menjadi viral di laman sosial YouTube, yang antara lain kumpulan terbabit mengugut untuk membunuh Ketua Polis Negara dan meletupkan keretanya.

Video klip itu memaparkan tiga lelaki bertopeng menggelarkan diri mereka sebagai Anak Malaysia Anti Demokrasi di mana seorang daripada mereka mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan ugutan.

Berikutan itu, Khalid dalam satu kenyataan Rabu lepas berkata beliau tidak gentar terhadap ugutan bunuh yang diterimanya dan langsung tidak bimbang kerana sebagai KPN, menerima ugutan bunuh adalah lumrah ketika menjalankan tugas.

Khalid berkata polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memantau aktiviti kumpulan itu dan sedang mengenal pasti identiti anggotanya.

Sehubungan itu, Saharuddin mengingatkan mana-mana individu supaya lebih berwaspada ketika mengeluarkan kenyataan atau video yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Semua individu perlu menghormati institusi ini (PDRM) kerana Ketua Polis Negara hanya menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau.

“Saya sokong KPN atas kenyataan yang dikeluarkannya bahawa beliau tidak gentar dengan ugutan bunuh kerana menerima ugutan adalah lumrah ketika menjalankan tugas,” katanya.

Sementara itu, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim berkata penggunaan media sosial seperti YouTube, Facebook dan Twitter yang digunakan oleh kumpulan tertentu adalah lebih bersifat propaganda untuk menyebarkan ideologi mereka.

“Mungkin kumpulan ini dibiayai individu tertentu bertujuan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu institusi atau individu lain. Kumpulan yang mengeluarkan video itu mungkin terikut-ikut trend dari negara Barat,” katanya.

Beliau berkata tindakan penyebaran video itu dikatakan sebagai satu promosi untuk mengiklankan kumpulan atau individu terbabit bagi menarik perhatian ramai.

Sehubungan itu, beliau menyeru SKMM mempertingkatkan kerjasama dengan pihak perkhidmatan media sosial di luar negara dalam mengesan dalang di sebalik kejadian berkenaan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memandang serius tindakan sekumpulan anak muda yang mengugut untuk membunuh Ketua Polis Negara melalui laman sosial kerana ia boleh mencetuskan ancaman lebih besar kepada negara pada masa akan datang. — Bernama

 

Advertisement