Anda di sini

Sabitan, hukuman penjara terhadap empat pegawai YPM dikekalkan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun terhadap empat pegawai Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang didapati bersalah mengemukakan butiran palsu berhubung pembayaran tiket kapal terbang.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Noraidah Johar, 45, Muhammad Suhaimi Ismail, 46, Zolkefli Mohd Ali, 50, dan Nurmawati Redzwan, 48.

Noraidah ialah Pengurus Unit Penyelaras YPM-Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT), Muhammad Suhaimi merupakan Penolong Pengurus Kewangan Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi III, Zolkefli ialah Penolong Pengurus Pentadbiran dan Perjawatan manakala Nurmawati pula Penolong Pengurus Hal Ehwal Pelajar dan Akademik.

Kamardin juga menaikkan hukuman denda daripada RM10,000 kepada RM43,125 bagi setiap tertuduh dan mereka boleh dipenjara enam bulan jika gagal bayar.

Dalam keputusannya, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa rayuan kesemua perayu, yang diwakili peguam M. Haresh dan peguam Azrul Z. Stork, tidak mempunyai merit.

Kamardin bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu sementara menunggu rayuan terhadap keputusan semalam selesai didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 12 Nov 2013, Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 terhadap setiap tertuduh selepas mereka didapati bersalah atas pertuduhan mengemukakan butiran palsu berhubung pembayaran tiket kapal terbang.

Mereka didakwa menggunakan dua dokumen yang mengandungi butiran palsu iaitu Ringkasan Borang Tuntutan Perbelanjaan/Penyelesaian Pendahuluan Lawatan Rasmi Bulan April 2010 dan Resit Rasmi Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd tanpa tarikh berjumlah RM12,125.

Mereka didakwa mengesahkan dan mengaku membayar RM12,125 bagi tiket kapal terbang kelas perniagaan pergi-balik ke Jepun, yang jumlah sebenarnya ialah RM3,500 bagi kelas ekonomi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Kewangan, Unit Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi, Yayasan Pelajaran Mara, antara 18 Mei 2010 dan 3 Jun 2010, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Afifah Yusof. — Bernama

 

Advertisement