Anda di sini

PM minta KSN siasat dakwaan sekolah tidak berdinding

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri telah meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyiasat dan mengambil tindakan berhubung dakwaan wujudnya sebuah sekolah yang beroperasi tanpa infrastruktur lengkap dengan keadaan kelasnya tidak berdinding dan berkhemah dipercayai di Tuaran, Sabah.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam akaun Twitternya berkata: “TS KSN@AliHamsa55 siasat dan ambil tindakan untuk bantu jika benar. Ini tidak patut berlaku.”

Najib mengeluarkan arahan itu dalam reaksinya kepada pemilik Twitter @saroki19 semalam setelah menghantar gambar keadaan sekolah itu dengan hashtag #SchoolWithNoWall kepada Perdana Menteri.

Saroki19 menyiarkan gambar itu, dengan satu daripada gambar menunjukkan sebuah kelas beratapkan zink dan bertiang besi tanpa din-ding dengan kelengkapan beberapa meja kayu, kerusi plastik, papan putih dan kipas dinding.

Sekeping lagi gambar menunjukkan sebuah kelas hanya beroperasi di bawah sebuah khemah.

Sekeping lagi gambar me-nunjukkan sebuah papan tanda yang tertera: ‘Selamat Datang. Sekolah Kebangsaan Penimbawan, Peti Surat 130, 89208, Tuaran, Sabah’.

Bagaimanapun, Saroki19 tidak memberi penjelasan terhadap gambar yang disiarkan berhubung kedudukan sekolah itu dan tarikh gambar itu dirakamkan.

Perdana Menteri semalam mengadakan lawatan sehari ke Sarawak dan merasmikan beberapa program termasuk menyempurnakan majlis peletakan batu asas Hospital Pakar Minor Sri Aman yang membabitkan kos RM200 juta, di Sri Aman. — Bernama

Advertisement