Anda di sini

Mahkamah putuskan NSTP amalkan kewartawanan bertanggungjawab

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memutuskan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan penyiaran artikel berhubung enam penjenayah diburu polis tiga tahun lepas, mempunyai kepentingan awam.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin dalam penghakiman ringkasnya mendapati NSTP juga tidak berniat jahat dalam menyiarkan artikel bertajuk ‘6 Penjenayah Buruan Utama’ dalam akhbar Harian Metro, 20 Okt 2012.

Sehubungan dengan itu, Nor Bee menolak saman yang difailkan pemandu lori Azri Abdullah, 32, terhadap NSTP dan wartawan Harian Metro, Wan Asrul Wan Hasan, selepas mendapati plaintif gagal membuktikan perkataan dalam artikel itu membawa satu perkataan fitnah terhadapnya.

Nor Bee memerintahkan Azri membayar kos berjumlah RM10,000 kepada kedua-dua defendan.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan daripada empat saksi plaintif termasuk Azri dan seorang saksi defendan.

Azri selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap kedua-dua defendan pada 2013 berhubung artikel yang mendakwa beliau antara enam suspek yang menjadi buruan polis.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Azri mendakwa laporan akhbar itu dan kandungan pada perenggan pertama berserta gambarnya yang disiarkan dalam akhbar itu membawa maksud beliau penjenayah di dalam kegiatan samun bersenjata, sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa dan seorang yang amat berbahaya.

Plaintif mendakwa beliau tidak pernah dianggap sebagai penjenayah oleh pihak berkuasa tetapi hanya diminta untuk tampil bagi membantu siasatan dan tidak dikenakan sebarang pertuduhan atas sebarang kesalahan jenayah, seperti yang dilaporkan dalam laporan berita itu.

Akibat daripada laporan berita itu, Azri mendakwa beliau mengalami tekanan perasaan dan tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa kerana perasaan malu yang dialaminya.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau sebanyak RM500,000, satu perintah injunksi bagi menghalang defendan menyebarkan perkataan-perkataan fitnah, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Azri diwakili peguam Mohd Razlan Jalaludin manakala kedua-dua defendan diwakili peguam M. Rueben dan G. Navinthar. — Bernama

 

Advertisement