Anda di sini

Zahida diperintah bayar ganti rugi bekas pemandu RM150,000

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan pelakon Zahida Mohamed Rafik membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas pemandu peribadi kerana memfitnahnya berhubung kehilangan wang RM200,000.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng membuat keputusan tersebut selepas membenarkan saman oleh Noor Azman Azemi terhadap Zahida yang didakwa memfitnahnya dalam tabloid berbahasa Melayu tiga tahun lalu.

Mahkamah juga mengarahkan Zahida membayar RM40,000 sebagai kos kepada Noor Azman.

Hakim turut menolak tuntutan balas Zahida yang menuntut pemulangan RM200,000 yang didakwa diambil oleh bekas pemandunya.

Hue dalam penghakiman ringkasnya berkata mahkamah mendapati Zahida gagal membuktikan imbangan kebarangkalian dalam kes itu, dan berpendapat kata-katanya adalah fitnah.

Mahkamah berpendapat hujah pembelaan tentang keistimewaan sampingan dan justifikasi tidak dapat diterima, manakala keterangan saksi defendan yang dikemukakan di mahkamah tidak boleh dipercayai.

Hue berkata mahkamah tidak dapat menerima keterangan Zahida mengenai kewujudan baucar yang dipalsukan.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan Noor Azam yang merupakan saksi tunggal plaintif dan lima saksi defendan termasuk Zahida.

Pada 27 Nov 2013, Noor Azam memfailkan saman yang mendakwa pelakon wanita yang pernah membintangi filem ‘Anak Mami The Movie’ secara salah dan dengan niat jahat membuat kenyataan fitnah dalam artikel yang diterbitkan dalam satu tabloid pada 3 Mac 2012.

Beliau mendakwa Zahida telah menuduhnya melarikan diri bersama wang yang sepatutnya didepositkan ke akaun bank pelakon itu.

Katanya, kenyataan pelakon itu menggambarkan beliau seorang yang tidak amanah, pencuri dan penjenayah, dan memberikan reputasi tidak baik serta menyukarkan peluang mendapat pekerjaan.

Noor Azam berkata, beliau telah ditahan reman oleh polis selama empat hari selepas Zahida membuat laporan terhadap dirinya mengenai kehilangan wang itu.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta kos dan bayaran lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Noor Azman, yang turut didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan melakukan pecah amanah wang milik Zahida berjumlah RM200,000, berharap keputusan yang sama memihak kepadanya.

“Saya menunggu kes saman ini selesai hampir tiga tahun dan selepas ditangkap pada 2012 saya hilang pekerjaan,” katanya, yang kini bekerja sebagai pemandu teksi.

Noor Azman, yang diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin dan Latheefa Koya berkata perbicaraan kesnya di Mahkamah Majistret Ampang akan bermula 23 Mac ini.

Zahida, yang diwakili peguam Sarah Abishegam turut hadir di mahkamah semalam. — Bernama

 

Advertisement