Anda di sini

Subjek institusi raja-raja perlu diperkenal kepada pelajar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mata pelajaran mengenai institusi raja-raja perlu diperkenalkan di peringkat sekolah hingga ke universiti bagi mendidik pelajar mengetahui peranan serta menghormati institusi itu, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau menjelaskan langkah itu sekal igus dapat membendung tindakan menghina institusi raja-raja dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Memandangkan hal sedemikian (menghina institusi raja-raja), saya rasa masanya telah sampai kerana tindakan itu menjadi cerminan kepada kita.

“Perlu ada panduan dan pendidikan yang jelas bagi membendung aktiviti seumpama itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Institusi Raja (Siraj) III: Pemerintahan Diraja Dalam Manuskrip Melayu, di sini, semalam.

Rais memberitahu beliau telah memaklumkan cadangan itu kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

“Pelajar universiti dan sekolah perlu diberi peluang untuk mempelajari tentang institusi raja-raja dan kandungan nilai yang terkandung di dalamnya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan perlu tegas dalam menangani tindakan menghina institusi raja-raja dengan mengenakan tindakan lebih tegas sebagaimana yang dipraktikkan oleh kerajaan Thailand terhadap rakyatnya yang menghina institusi raja-raja di negara itu.

Katanya, baru-baru ini dua pelakon terkenal di negara itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah setelah didapati bersalah menghina sistem monarki semasa pementasan persembahan teater.

Pada awalnya, kedua-dua pelakon itu berdepan hukuman penjara lima tahun, namun dipendekkan selepas mereka mengaku bersalah.

Terdahulu, dalam ucaptamanya, Rais berkata negara memerlukan pewaris pakar sejarah Melayu bagi menggantikan pakar sedia ada bagi meneruskan kajian budaya serta tamadun Melayu.

“Pakar-pakar seperti Prof Mohd Taib Osman dan Mohamad Mustafa Kamal Yassin memerlukan pewaris bagi menyambung legasi mereka,” katanya.

Sebanyak 15 kertas kerja dibentangkan pada seminar sehari itu yang dihadiri 250 peserta terdiri daripada ahli akademik, cendekiawan, pegawai kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). — Bernama

 

Advertisement