Anda di sini

Kerajaan sasar pencapaian 90 peratus penggunaan e-Pembayaran pada 2015

Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus penggunaan bayaran secara elektronik dalam perkhidmatan sektor dicapai menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata ketika ini, kadar penggunaan e-Pembayaran dalam perkhidmatan sektor awam masih rendah iaitu kira-kira 34 peratus.

“Mewujudkan ekosistem e-Pembayaran yang baik dalam sektor awam amat penting kerana kelebihan utama ‘masyarakat tanpa tunai’ adalah semua transaksi ekonomi dapat direkodkan melalui cara elektonik.

“Saya menyeru semua agensi kerajaan yang belum melaksanakan e-Pembayaran supaya segera berusaha meningkatkan prestasi transaksi pembayaran tanpa tunai sejajar dengan kemajuan dan kecanggihan dunia teknologi maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan e-Pembayaran Sektor Awam di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Husni berkata dengan adanya ‘masyarakat tanpa tunai’, ia hampir mustahil untuk sesiapa sahaja mengekalkan pasaran hitam atau ekonomi bawah tanah yang mampu merosakkan ekonomi sesebuah negara.

Mengambil contoh sistem pembayaran Paypal, beliau berkata berbilion dolar Amerika Syarikat diniagakan setiap hari melalui pembayaran secara ‘online’ yang dilakukan merentasi sempadan negara.

“Saya menjangka negara kita juga akan menyaksikan kadar penggunaan e-Pembayaran yang lebih tinggi dengan ekonomi yang dipacu oleh pengguna disebabkan peningkatan kemudahan pembayaran secara elektronik,” katanya.

Menurut Ahmad Husni, satu kajian yang dijalankan di luar negara menunjukkan kaedah pembayaran yang tidak dipermudahkan adalah antara sebab mengapa wujud kelewatan pembayaran duti dan denda.

Katanya negara telah mencatat pencapaian yang membanggakan dalam penyediaan perkhidmatan dalam talian (e-Services) iaitu sebanyak 10,734 perkhidmatan yang merangkumi 79 peratus daripada semua perkhidmatan. — Bernama

 

Advertisement