Anda di sini

KDN, JAKIM kerjasama tangani hadis palsu

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) buat pertama kalinya menjalinkan kerjasama bagi menangani fahaman dan kegiatan ekstremis yang disebarkan melalui hadis-hadis palsu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dilakukan kerana terdapat hadis-hadis palsu di laman-laman sosial terutamanyayang bertujuan untuk merekrut bakal-bakal pengganas termasuk yang dikaitkan dengan kumpulan militan IS.

“Ini termasuk dengan kes gadis berusia 14 tahun yang cuba menyertai kumpulan militan IS di Syria, kerana beliau telah terpengaruh hadis (palsu) yang dibaca itu adalah benar dan sahih,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kepada media selepas menghadiri Majlis Pertemuan Bersama Anggota Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran dan Lajnah Tafsir al-Quran di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Remaja perempuan 14 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 18 Feb lepas ketika cuba pergi ke Syria melalui Mesir.

Gadis yang berasal dari Muar itu merupakan pelajar pengajian agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.

Ahmad Zahid berkata walaupun KDN juga bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menangani isu itu, namun ia masih tidak mampu untuk memantau setiap akaun media sosial di negara ini.

“Kita rasa tidak cukup dengan penguatkuasaan sahaja, tapi perlu ada kesedaran di kalangan orang awam itu,” katanya, sambil menambah KDN berhasratbertemu dengan lebih 20 ulama yang pakar dalam bidang hadis untuk mengatasi permasalahan itu dalam jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata JAKIM akan mengeluarkan senarai hadis-hadis palsu peringkat demi peringkat di laman sesawangnya dalam masa terdekat.

“Dunia sekarang semakin berkembang maju dan pendekatan orang ramai yang mencari maklumat juga berbeza terutamanya berkaitan dengan al-Quran dan hadis yang mana mereka lebih suka mencari melalui komputer dan media baharu.

Namun melalui jalan inilah, kadang-kadang terdapat sumber-sumber tidak pasti yang direka termasuk hadis yang bukan bersumber daripada Rasullullah sendiri,” katanya.

Justeru katanya, melalui kerjasama itu, satu biro yang dikenali sebagai Lajnah Tahseh al-Quran KDN dibentuk untuk yang menggunakan kepakaran sedia ada dalam JAKIM dan Majlis Agama Islam negeri-negeri untuk menangani penyelewengan hadis. — Bernama

 

Advertisement