Anda di sini

Serlahkan Kuching sebagai Bandar Raya Berjiwa

Advertisement

Oleh Sandy Mark Luna //

Orang ramai dipelawa meriahkan Majlis Ramah-Tamah TBC bersama Perdana Menteri malam esok

TUKAR MAKLUMAT: Chan (kiri) dan Hanifah (kanan) mendengar penerangan daripada Wong pada sidang media semalam.

KUCHING: Orang ramai dipelawa untuk memeriahkan Majlis Ramah-Tamah Tahun Baharu Cina (TBC) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bermula jam 7 malam di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) pada Jumaat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh berkata, acara itu akan disambut besar-besaran dengan kerjasama sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Adalah menjadi harapan kita agar sambutan itu akan menjadi malam di mana masyarakat pelbagai budaya, agama dan latar belakang berkumpul dalam suasana kondusif sekali gus mencerminkan Kuching sebagai Bandar Raya Berjiwa,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar MBKS yang juga Pengerusi Penganjur Datuk James Chan dan Pengerusi Penganjur Bersama Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree.

Mengulas lanjut mengenai sambutan tersebut, Chan berkata, kali ini dijangkakan lebih 40,000 pengunjung dijangka hadir pada acara yang merupakan sebahagian daripada  Program Kejiranan MBKS.

“Pada majlis ramah-tamah tahun lepas, kita mencatat kedatangan sebanyak 40,000 orang dan kali ini, kita percayai mampu melangkaui angka itu memandangkan sambutan kali ini dimeriahkan lagi dengan kedatangan Perdana Menteri serta isteri (Datin Seri Rosmah Mansor).

“Penduduk Kuching tanpa mengira latar belakang perlu datang beramai-ramai untuk mempamerkan kesatuan dan keharmornian di bandar raya ini,” katanya.

MENARIK: Peserta Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina anjuran MBKS menghias gerai masing-masing.

Lebih daripada 80 gerai disediakan oleh badan-badan korporat dan NGO yang menawarkan pelbagai jenis juadah dan minuman untuk dihidangkan kepada orang ramai secara percuma sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

Pelbagai barangan lain yang akan diberikan secara percuma menanti orang ramai seperti mi segera ‘Mee Daddy’ dan botol madu sumbangan Kumpulan KTS, 1,000 pek permulaan (DiGi), belon percuma (Telekom).

Manakala makanan pula akan dihidangkan oleh Lok Thian, Hoi Tin Lau, Mango Tree, The Banquet, Li Garden, selain Singapore Chicken Rice dan Sugarbun.

Hadirin juga akan dihiburkan dengan pertunjukan tarian daripada 88 Lion Dance, 24 Drums, The Dance Academy Kuching, serta persembahan nyanyian oleh Hwang Wei Chiew dan Irene Tan, masing-masing finalis dan juaraAnugerah Melodi Emas Klasik Astro 2014.

Pada malam itu juga, IBRACO akan mengagihkan kira-kira 1,000 angpau kepada orang ramai berdasarkan ‘Siapa Cepat Dia Dapat.’

Manakala Kumpulan Lee Onn pula akan memberi 800 keping angpau kepada warga emas bernilai RM10 hingga RM100 di mana individu berusia 70 tahun ke atas akan menerimanya pada pendaftaran, manakala individu berusia 55 tahun ke atas perlu menunggu giliran.

Semua warga emas diminta mendaftar pada jam 7 malam dan membawa kad pengenalan.

Advertisement