Oleh Hamimi Kassim //
Delegasi Ahli Parlimen belajar, kaji tanaman kelapa sawit untuk tepis kempen di Eropah
KUCHING: Ahli-Ahli Parlimen Eropah (MEP) menyatakan sokongan untuk membantah kempen oleh beberapa negara di Eropah yang memboikot produk kelapa sawit dari Malaysia.
Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Richard Asworth berkata, MEP sedia berdiri dan mempertahankan negara ini daripada dikecam oleh pihak tidak bertanggungjawab dari Eropah.
“Kita mahu Malaysia tahu bahawa MEP adalah sahabat dan akan berada di belakang mereka bagi mempertahan serta membawa suara negara ini bagi menepis kempen antiminyak sawit di Eropah.
“Untuk itu, kehadiran kita ke negara ini adalah bagi mempelajari dan mengkaji mengenai tanaman kelapa sawit untuk kita memperkukuhkan hujah apabila berdebat setelah kembali ke Eropah nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum Majlis Makan Malam anjuran Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu di Hotel Pullman di sini, malam kelmarin.
Menurutnya yang juga ketua delegasi, selepas lawatan itu MEP akan berbincang dengan kerajaan, semua sektor dalam industri terlibat termasuk institusi Eropah yang mengambil berat terhadap imej tanaman itu dalam kalangan pengguna terutamanya di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai hasil lawatan tersebut, delegasi dari United Kingdom itu memuji usaha negara ini mengurus pembangunan tanah bagi penanaman kelapa sawit di negeri ini selain membantu meningkatkan taraf hidup rakyat terutama di kawasan luar bandar.
Bukan itu sahaja, pihaknya turut berpuas hati dengan setiap aspek terutama tanggungjawab terhadap alam sekitar dan pengurusannya yang ia seimbang, tidak seperti didakwa.
“Saya berpendapat itulah mesej jelas dan selesa yang boleh disebarkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, MEP termasuk kerajaan negara ini berharap pihak yang melempar dakwaan terhadap Malaysia agar mengemukakan bukti jelas secara bertulis agar dapat diselesaikan dan bukannya melalui tuduhan lisan sahaja.
Sementara itu, Jabu memaklumkan lawatan dua hari pada 24 dan 25 Februari itu diselaras oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Pemodenan Pertanian itu, tujuan lawatan berkenaan adalah bagi memberi pendedahan dan pengalaman secara langsung kepada MEP dari segi pembangunan ekonomi, pemuliharaan alam sekitar dan usaha pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kerajaan seiring dengan pembangunan industri sawit Malaysia.
“Ini akan membantu MEP menilai industri sawit Malaysia melalui persepektif yang lebih tepat dan sumbangan industri ini kepada pertumbuhan ekonomi negara,” kata Jabu.
Bercerita mengenai tentatif program, beliau memberitahu delegasi telah dibawa melawat ladang kelapa sawit SALCRA di Sebako, Bau, kilang kelapa sawit SALCRA di Bau dan pada masa sama berjumpa dengan pekebun kecil.
Selain itu, turut diadakan sesi dialog, majlis makan malam dan lawatan ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh pada hari terakhir lawatan semalam.
Hadir sama Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Nirj Deva, Jawatankuasa Penyelidikan Industri dan Tenaga Rojer Helmer dan Jawatankuasa Kecil Hak Asasi Manusia Amjad Bashir.