Anda di sini

Rebut peluang pada SCat Fair 2015

Advertisement

Oleh Nick Fletcher //

Sebanyak 2,600 pekerjaan ditawarkan oleh 58 syarikat dan industri: Len

JANGAN LEPAS PELUANG: Len (lima kanan) bersama wakil agensi-agensi yang menyertai SCat Fair 2015 selepas mengadakan sidang media di BCCK, Kuching semalam.

KUCHING: Sebanyak 2,600 pekerjaan akan ditawarkan oleh 58 syarikat dan industri kepada masyarakat khususnya belia di negeri ini sempena Sarawak Career and Training Fair (SCat Fair) 2015 yang akan diadakan pada 7 dan 8 Mac di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Justeru, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh menyarankan belia yang mencari kerja atau ingin menukar pekerjaan supaya tidak melepaskan peluang tersebut dengan mendaftarkan diri untuk mengikuti temu duga pekerjaan secara terbuka itu.

“58 syarikat dan industri yang menyertai SCat Fair kali ini telah menyediakan 2,600 pekerjaan untuk diisi oleh belia kita.

“Petronas dan Shell juga membuat rekrutmen pekerjaan, manakala JobsMalaysia menyediakan peluang pekerjaan dan belia boleh mendaftarkan nama mereka secara ‘online’,” katanya pada sidang media SCat Fair 2015 di BCCK di sini, semalam.

Selain itu, Len menyeru belia lepasan SPM dan STPM tahun lepas serta ibu bapa dan warga pendidik supaya berkunjung ke SCat Fair kali ini di mana di bawah satu bumbung, anda boleh dapati institusi pendidikan dan pusat latihan yang mempamerkan pelbagai kursus pendidikan dan latihan.

“SCat Fair tahun ini adalah sangat menarik daripada segi penyertaan khususnya dengan penyertaan Petronas, Shell, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (PENERAJU) dan Jabatan Tenaga Kerja dari Kementerian Sumber Manusia.

“Agensi-agensi ini bukan sahaja memberi panduan yang jelas bagaimana belia yang berminat untuk menyertai industri minyak dan gas atau pekerjaan dalam bidang teknikal, malah mereka juga membuat rekrutmen pekerjaan termasuk menawarkan biasiswa, bantuan pendidikan dan latihan,” katanya.

Dalam pada itu, Len berkata selain Yayasan Sarawak, terdapat sembilan agensi lain yang menyertai SCat Fair 2015 turut menyediakan bantuan pendidikan dan latihan.

“MARA, JPA, Petronas dan Shell telah menyediakan biasiswa dan bantuan pendidikan di mana ini adalah kali pertama mereka menyertai SCat Fair sebagai agensi dana.

“PENERAJU juga akan membuka peluang pendidikan dan latihan kepada Bumiputera dari sekolah rendah sehinggalah ke peringkat profesional dan semua pelajar yang terpilih akan dibiayai sepenuhnya oleh PENERAJU,” katanya.

Selain mengadakan pameran pendidikan dan kerjaya, SCat Fair diisi dengan beberapa aktiviti seperti ceramah am dan kerjaya serta aktiviti pembangunan kepimpinan belia.

Advertisement