Anda di sini

PM, isteri lawat Sarawak hari ini hingga Sabtu

Advertisement

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan mengadakan lawatan rasmi ke Sarawak hari ini hingga Sabtu.

Najib dan Rosmah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar jam 5 petang bagi merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) pada jam 8.30 malam ini.

Manakala esok, Perdana Menteri akan menyempurnakan Majlis Peletakan Batu Asas Hospital Sri Aman yang dijangka bermula jam 9 pagi sebelum bertolak ke Beladin untuk melancarkan Projek Pembinaan Dewan Masyarakat.

Beliau kemudian akan ke Masjid Rahmaniah untuk solat Jumaat sebelum ke Serian pada sebelah petang bagi merasmikan Loji Rawatan Air Slabi Baru.

Rosmah pula dijangka akan menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Pascabanjir anjuran bersama Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) serta Pandu Puteri Malaysia di Dewan Suarah Samarahan pada hari sama, jam 2.30 petang.

Pada sebelah malam pula, Najib dan isteri akan menyempurnakan Majlis Ramah-Tamah Tahun Baharu Cina anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di Dewan Masyarakat, di sini.

Sementara itu, pada Sabtu pula, Najib dijangka akan mengadakan ‘Walk-About’ di Medan Niaga Satok sekitar jam 9 pagi sebelum menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa banjir.

Beliau dan isteri dijangka bertolak ke ibu negara dari LTAK sekitar 10.30 pagi Sabtu.

Advertisement