Anda di sini

Pembatalan SUKMA 2015 turut kecewakan MSNS

Advertisement

KUCHING: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) menjelaskan semua persatuan sukan yang terbabit dalam SUKMA 2015 diberi pilihan sama ada mahu menerus atau menghentikan program latihan mereka.

Ini selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) membatalkan penganjuran SUKMA berskala kecil itu kelmarin.

Pemangku Pengarah MSNS, Lucas Kallang Laeng berkata pembatalan SUKMA kali ini turut mengecewakan pihaknya setelah mengambil kira persiapan rapi kontinjen negeri sejak tahun lepas.

“Terserah kepada budi bicara persatuan sukan samada mahu menerus atau menghentikan program latihan masingmasing,” katanya semalam.

“MSNS juga kecewa dengan pembatalan ini namun kita terpaksa akur dengan keputusan yang telah diambil oleh KBS dan MSN.

“Kita juga melahirkan rasa simpati terhadap atlet yang terlibat yang telah bekerja keras demi untuk menghadapi SUKMA kali ini.”

Lucas bagaimanapun berkata usaha keras atlet terlibat tidak akan sia-sia di mana beliau yakin persatuan akan memastikan atlet mereka menyertai pelbagai kejohanan yang dipertandingkan dari masa ke semasa.

Selain itu katanya, pembatalan SUKMA kali ini akan memberi MSNS masa mencukupi untuk membuat persiapan rapi sebelum menghadapi temasya besar yang akan berlangsung di Sarawak tahun depan.

Sementara itu, Lucas berkata KBS akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pembatalan rasmi SUKMA kali ini dalam tempoh terdekat.

SUKMA berskala kecil telah diperkenalkan sejak 2011 di mana ia bertujuan untuk memperkenalkan sukan tidak popular.

Untuk temasya kali ini, sejumlah 22 acara dipertandingkan iaitu lawan pedang, kayak, judo, muaythai, bina badan, bola tampar pantai (lelaki/ wanita), kriket, kabaddi, futsal lelaki, polo air lelaki, sofbol wanita, bola baling (lelaki/ wanita), equestrian, renang berirama, silambam, woodball, gimrama, bola keranjang, basikal trek, bola jaring, ragbi dan pingpong.

Advertisement