KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Sarawak Automative Racing Sport Association (SARSA) menganjurkan ‘Padawan International 4×4 Off-Roaders Extreme Challenge 2015’ pada 22 hingga 24 Mei di Skim Penempatan Semula Bengoh, Jalan Puncak Borneo di sini.
Menteri Muda Kesihatan Awam, Datuk Dr Jerip Susil berkata penganjuran sukan permotoran berprestij itu bakal menggamit kehadiran peminat sukan permotoran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kita yakin penganjuran itu mampu menjadi landasan terbaik memperkenal negeri ini khasnya kawasan Padawan iaitu Penempatan Semula Bengoh yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, flora dan flauna di mata dunia.
“Bukan itu sahaja, melalui acara itu secara langsung mampu meningkatkan ekonomi penduduk melalui pesta selain dapat mempamerkan keunikan budaya asli kaum Bidayuh seperti ‘Ring Ladies’ yang sudah tidak asing di samping sambutan Pra-Gawai pada awal Jun,” katanya pada sidang media mengenai acara itu di pejabatnya di sini kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh itu memberitahu, beliau telah menyumbangkan RM100,000 bagi menjayakan acara itu dan berharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai acara tahunan skala lebih besar.
Menurutnya, sumbangan itu adalah bagi membantu penganjur memastikan keperluan serta aspek keselamatan pesta itu berjalan lancar.
Sementara itu, Pengerusi Padawan International 4×4 Off-Roaders Extreme Challenge 2015 Wilfred Yap berkata acara julung kali itu tidak mengecewakan pesertanya kerana melalui ‘International 4×4 Off-Road Time Attack Challenge’ mereka melalui laluan semula jadi yang mencabar dan indah.
“Kita berani katakan lokasi Skim Penempatan Semula Bengoh, Jalan Puncak Borneo lebih bagus daripada di Kundasang, Sabah (popular kalangan peminat sukan permotoran negara ini) dan belum pernah terusik,” katanya cabaran bakal melibatkan laluan mencabar 60 hingga 70 kilometer.
Selain itu, Wilfred turut memaklumkan bahawa penganjur juga berjumpa dengan pemilik inap desa sekitar Jalan Puncak Borneo menyediakan aktiviti dan program bagi peserta yang dijangka membanjiri acara itu nanti.
Bagi aspek teknikal, Setiausaha SARSA Lucas Tan berkata kira-kira 100 marsyal dan pegawai dari dalam dan luar negara terlibat dalam acara itu.
Mereka termasuklah seramai 61 penduduk kampung sekitar Jalan Puncak Borneo yang menamatkan Kursus Pegawaian dan Marsyal Sukan Pemotoran pada Januari lalu.
Dalam pada itu, acara tiga hari itu bakal diisi dengan ‘World Renown Ring Ladies’ dan konsert pada 22 dan 23 Mei manakala Pertunjukan Kereta Formula serta Pameran Kereta dan Motosikal pada 23 dan 24 Mei dan banyak lagi.
Hadir sama pada sidang media itu Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi penganjur di talian 082-615566.