Anda di sini

Kerjasama pintar sebar perpaduan, budaya Sarawak

Advertisement

Oleh Nick Fletcher //

Kerajaan akan bekerjasama erat dengan agensi media untuk jaga aset penting negeri: Abang Johari

KUCHING: Kerajaan negeri akan menjalin kerjasama pintar bersama agensi-agensi media untuk menyebarkan perpaduan dan berkongsi keunikan budaya di Sarawak dengan masyarakat lain.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata usaha berkenaan adalah untuk menjaga perpaduan dan keunikan budaya yang merupakan aset penting bagi negeri ini.

“Sarawak mempunyai budaya yang tersendiri dan sudah tentu kalau kita hendak menyebarkannya, ia memerlukan kerjasama kuat antara agensi-agensi media.

“Dengan itu, kita akan dapat mengetengahkannya ke peringkat lebih luas lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi RTM Sarawak Bersama Penaja di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah Penyiaran Sarawak Salmah Ibrahim Melina dan Pengarah Urusan Utusan Airtime Sdn Bhd Datuk Mohd Zamri Sulong.

Selain itu, Abang Johari yang juga menteri bertanggungjawab untuk penerangan di negeri ini berkata akan menonjolkan keunikan budaya Sarawak menerusi seni persembahan seperti nyanyian, lakonan dan sebagainya.

“Saya cuba memberikan laluan baharu dari sudut seni persembahan dan dengan adanya kerjasama antara kerajaan negeri dan agensi media, saya yakin visi kita akan tercapai seterusnya dapat kita gunakan untuk memperkenalkan budaya kita di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri juga amat memerlukan peranan media dalam menyebarkan maklumat kepada orang ramai mengenai aktiviti ekonomi di negeri ini khususnya yang dijana oleh industri pelancongan.

“Pada tahun ini, kerajaan negeri sudah mengatur pelbagai aktiviti untuk menarik bilangan pelancong dengan pelbagai acara.

“Inilah fokus kita untuk menarik kehadiran pelancong di mana peningkatan bilangan pelancong akan menyumbang kepada pendapatan negeri dan juga penduduk awam,” katanya.

Advertisement