Anda di sini

‘Geng Azhar Kuala Ketil’ tumpas, tujuh anggota ditahan

Advertisement

KULIM: Kumpulan mencuri kereta yang digelar ‘Geng Azhar Kuala Ketil’ tumpas selepas tujuh anggotanya ditahan dan tujuh buah kereta dirampas di Kulim dalam operasi polis mulai 17 Feb lepas hingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Abdullah Arshad berkata mereka yang berusia antara 18 dan 44 tahun ditahan di beberapa kawasan sekitar sini.

Beliau berkata dua daripada mereka telah didakwa manakala lima lagi masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Empat lagi anggota kumpulan itu masih bebas, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Abdullah berkata kereta yang ditemui semula itu didapati telah diceraikan bahagiannya untuk dijadikan alat ganti sebelum dijual.

Kumpulan ini aktif di sekitar pekan Kuala Ketil manakala kereta yang dicuri adalah daripada pemilik di Seberang Perai, Sungai Petani dan Tikam Batu.

Beliau berkata kumpulan itu gemar mencuri kereta jenama Proton dan Perodua seperti Proton Perdana, Wira, Satria dan Kancil. — Bernama

Advertisement