KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh menyeru para pelajar dan belia Bumiputera di negeri ini agar memilih bidang perakaunan, selain pendidikan teknikal dan latihan vokasional.
Menurutnya, penyertaan Bumiputera dalam bidang perakaunan masih terlalu rendah dan kekurangan itu harus dilihat sebagai satu peluang baik kepada Bumiputera yang mesti direbut.
“Ini kerana pada 2020, Malaysia memerlukan sebanyak 60,000 akauntan,” katanya pada sidang media mengenai Sarawak Career and Training Fair (SCat Fair) 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Len menjelaskan daripada 31,000 akauntan yang berdaftar dengan Malaysian Institute of Accountants (MIA), hanya 19,000 adalah akauntan yang bertauliah.
Daripada 19,000 itu, beliau menambah hanya lapan peratus atau 1,520 Bumiputera.
“Peratusan ini adalah lebih rendah daripada 25 peratus yang disasarkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, Len berkata TERAJU dan Yayasan Sarawak telah menjalinkan kerjasama untuk menggalakkan pelajar Bumiputera mengikuti Certified Accounting Technician (CAT) dan Associate of Chartered Certified Accountant (ACCA) di Kolej Sunway Kuching.
“Kolej Sunway Kuching merupakan sebuah pusat kecemerlangan perakaunan yang bertaraf dunia di mana kolej ini telah mendapat taraf platinum selama lima tahun berturut-turut termasuk tahun ini,” katanya.
Selain itu, katanya, Yayasan Pendidikan Jeffrey Cheah juga menyediakan dana kepada pelajar bukan Bumiputera tetapi pelajar berkenaan hendaklah mengikuti kursus dalam bidang perakaunan di Kolej Sunway Kuching.
Dalam pada itu, Len turut menyarankan lepasan SPM 2014 yang layak dari Sarawak supaya mengisi kuota pengambilan pelajar ke Pra-Universiti di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Menurutnya, kuota pengambilan ke Pra-Universiti di unimas telah tidak dapat dipenuhi pada setiap tahun.
“Saya percaya kita tidak kekurangan calon di Sarawak kerana pada setiap tahun kira-kira 38,000 pelajar menduduki SPM dan 7,000 pelajar menduduki STPM.
“Saya yakin UNIMAS akan dapat mengisi kuota Pra-Universiti ini kerana kalau tidak rugilah belia kita di Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, Len berkata UNIMAS akan memberi bimbimgan kepada pelajar untuk mengisi permohonan secara ‘online’ dengan betul bagi program berkenaan sempena SCat Fair 2015 yang akan diadakan pada 7 dan 8 Mac di BCCK.