Anda di sini

Adenan layak, pilihan tepat untuk mengetuai negeri: Talib Zulpilip

Advertisement

KUCHING: Pada 28 Februari ini, genap setahun Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menggalas tugas sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, sepanjang setahun ini boleh dikatakan Adenan sememangnya seorang yang layak dan pilihan tepat sebagai pemimpin bagi mengetuai negeri ini.

“Untuk menjadi seorang ketua, seseorang itu perlulah mendapat sokongan dalam melaksanakan tugasnya dan beliau jelas telah menerima sokongan yang kuat dan padu daripada semua pihak.

“Beliau sememangnya sesuai menggalas tugas Ketua Menteri ini,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Ketika ditanya mengenai pencapaian Adenan setakat ini, Talib berkata, kenyataan beliau bahawa tiada tanah kerajaan baharu akan diguna untuk penanaman kelapa sawit telah memberi ruang bagi hala tuju masa depan negeri ini.

Selain itu, tiada lagi lesen pembalakan baharu akan dikeluarkan dan ini membolehkan dasar disemak semula bagi industri kayu balak, tambahnya.

“Ini adalah satu langkah yang baik dan diperkukuhkan oleh penguatkuasaan yang lebih tegas oleh beliau.

“Malah, keputusan dan ketegasannya itu telah disusuli dengan tindakan, bukan cakap kosong dan mengotakan janji,” jelas Talib.

Menurut Talib lagi, disebabkan itulah Adenan disegani, justeru kenyataan bahawa keluarganya tidak akan dibenar untuk terlibat dalam sektor pembalakan atau perladangan juga wajar dipuji.

“Rakyat Sarawak jelas memuji beliau bagi perkara-perkara tersebut,” jelasnya.

Menyentuh mengenai populariti Adenan, Talib yang juga Menteri Muda Pelancongan memberitahu beliau berada pada landasan yang betul.

“Populariti biasanya ditentukan oleh masa dan tindakan.

“Setakat ini beliau (Adenan) berada di landasan yang betul dan beliau sememangnya layak menerima penghormatan dan penerimaan daripada rakyat,” katanya.

Advertisement