Anda di sini

Pembantu tadbir didenda palsu resit

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Seorang pembantu tadbir di Pejabat Daerah Dungun dijatuhi hukuman denda berjumlah RM11,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam atas dua pertuduhan memalsukan resit hasil tanah kerajaan negeri Terengganu.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Murtazadi Amran menjatuhi hukuman denda sebanyak RM4,000, jika gagal penjara selama enam bulan, manakala bagi pertuduhan kedua denda sebanyak RM7,000, jika gagal boleh dihukum penjara selama enam bulan.

Mengikut fakta kes, tertuduh Mazita Ngah, 50, secara rawak telah memilih satu fail Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) untuk dibuat salinan resit.

Tertuduh telah mengambil dua keping resit atas nama Samsuriyah Alias kerana bayaran yang dibuat Samsuriyah pada 22 Nov 2011 adalah sama dengan jumlah yang sepatutnya dibayar oleh anak tertuduh iaitu Nurul Fatinah Zulkifli.

Mazita kemudiannya membuat salinan foto dua resit tersebut yang masing-masing berjumlah RM230 dan RM4,550 serta memasukkan salinan foto kedua-dua resit tersebut ke dalam fail Samsuriyah.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 463 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut Seksyen 465 kanun sama iaitu pemalsuan dokumen kerana memalsukan dua resit pelbagai hasil tanah atas nama anaknya sedangkan jumlah tersebut tidak pernah dibayar kepada Pejabat Tanah Daerah Dungun.

Pada 10 Feb lalu, di mahkamah yang sama, tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut yang berjumlah lebih RM4,500.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Fairuz Jusoh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. — Bernama

 

Advertisement