Anda di sini

12 lelaki ditahan disyaki terlibat pergaduhan di Segamat

Advertisement

JOHOR BAHARU: Polis menahan 12 lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga mengakibatkan dua orang cedera di Segamat, Muar, di sini petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor Datuk Hasnan Hassan berkata kesemua lelaki berusia antara 23 hingga 68 tahun itu ditahan sejurus kejadian.

“Semakan rekod jenayah serta saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripadanya memiliki rekod jenayah lampau manakala tiga lagi positif dadah jenis ganja.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 27 Feb ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, sehari sebelum itu, kumpulan tersebut telah mencetuskan pergaduhan di tempat yang sama pada jam 10.55 malam.

Bagaimanapun, berikutan tindakan pantas polis dua daripada mereka yang berusia 18 hingga 41 tahun, sempat ditahan dan turut ditahan reman sehingga 27 Feb ini, kata Hasnan.

“Insiden berpunca daripada perselisihan faham akibat kemalangan jalan raya kecil berlaku berhampiran tempat kejadian.

“Bagaimanapun, keadaan ketenteraman berhampiran tempat kejadian kini terkawal dan orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian,” katanya. — Bernama

 

Advertisement