Anda di sini

Polis tahan lapan lelaki, rampas dadah RM420,000

Advertisement

IPOH: Polis menahan lapan lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 8.351 kilogram dianggarkan bernilai RM420,000 dalam dua serbuan di sekitar Ipoh Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dan JSJN Perak.

Beliau berkata serbuan pertama pada jam 3 petang di sebuah premis kediaman di Bandar Lahat Mines dekat sini membabitkan penahanan tiga lelaki dan rampasan heroin seberat 7.07 kilogram dan syabu 709 gram selain merampas pelbagai jenis peralatan untuk membungkus heroin.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah unit stor di Kelab Lumba Kuda, di sini pada pukul 4.30 petang dan menahan seorang lagi lelaki serta merampas pelbagai jenis peralatan yang digunakan untuk memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di sini, semalam.     Beliau berkata susulan serbuan itu juga, polis menahan empat lelaki dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah berkenaan di sekitar Bandaraya Ipoh dan merampas dadah jenis syabu seberat 566 gram.

Osman berkata polis turut menyita enam kenderaan antaranya Toyota Wish, BMW dan Proton Perdana serta sebentuk cincin yang keseluruhannya bernilai RM500,000 dan merampas wang tunai sebanyak RM25,940.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket itu telah beroperasi sejak dua bulan lepas dan dadah itu digunakan untuk kegunaan penagih dari negeri lain,” katanya.

Osman berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 49 tahun itu ditahan reman sehingga Jumaat depan. — Bernama

Advertisement