Anda di sini

Tukang masak didakwa bunuh penuntut UiTM

Advertisement

TAIPING: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh seorang penuntut wanita dengan mengelar leher mangsa di Kilometer 228.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Bukit Gantang, dekat sini, 2 Feb lepas.

Tertuduh, Syarafi Abu, 25, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Nursyuhada Johari, 20, penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar, kira-kira jam 2 petang, pada hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eyu Ghim Siang, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, dilihat menggelengkan kepala.

“Mahkamah tidak minta pengakuan kamu, cuma tanya sama ada kamu faham atau tidak dengan pertuduhan,” kata majistret.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes berikutan laporan kimia dan bedah siasat mangsa belum siap.

Eyu kemudian menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan tertuduh dikat jamin.

Pada prosiding semalam, galeri mahkamah dipenuhi anggota keluarga tertuduh, wartawan dan orang ramai. — Bernama

 

Advertisement