Anda di sini

PKPKL: Wujudkan tribunal khas bantu peminjam wang berlesen teraniaya

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) disaran agar mewujudkan tribunal khas untuk membantu peminjam yang teraniaya oleh syarikat peminjam wang berlesen.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi berkata ramai peminjam yang membuat pinjaman dengan syarikat peminjam berlesen tertipu apabila syarikat terbabit mengenakan faedah yang sangat tinggi.

“Sejak tiga tahun lalu, kami menerima lebih 1,000 kes yang meminta kami membantu menyelesaikannya setelah kes mereka gagal diambil tindakan oleh pihak terbabit,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau berkata langkah mewujudkan tribunal itu penting supaya peminjam yang teraniaya itu boleh terus mengadukan kes mereka selain mendapatkan khidmat guaman untuk menyelesaikan kes yang dihadapi.

“Kita tahu KPKT memang ada mengendalikan kes yang dilaporkan tetapi jumlahnya sangat sedikit berbanding aduan diterima daripada peminjam yang teraniaya ini,” katanya.

Selain itu, Samsuddin berkata pihaknya juga mencadangkan supaya Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang kini di bawah KPKT, diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Peminjam wang tidak termasuk dalam Akta Perlindungan Pengguna dan tidak boleh merujuk kes mereka ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,” katanya.

Beliau berkata KPDNKK mempunyai pusat aduan di setiap negeri berbanding KPKT yang hanya mempunyai pusat aduan di Putrajaya bagi peminjam yang mahu merujuk masalah mereka.

Katanya peminjam yang mempunyai masalah atau terpedaya dengan syarikat peminjam wang berlesen serta ah long boleh mengemukakan aduan mereka kepada PKPKL di talian 03-91015096. — Bernama

 

Advertisement