Anda di sini

Pereka laman web didenda

Advertisement

PETALING JAYA: Seorang pereka laman web semalam didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan rakannya.

Majistret Surya Wati Shawal menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Kwan Chiew Yuen, 41, selepas dia didakwa dengan sengaja menampar Kong Meng Foong, 22, pada bahagian kepala berkali-kali di Padang Wam Tapak Bola Keranjang, USJ 16, Subang Jaya, di sini, kira-kira jam 6 petang, 6 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, Kwan yang diwakili peguam Yusri Yusof memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Bukhari Wan Mohd bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan tertuduh.

Sementara itu, Jabatan Perikanan Selangor menahan 25 awak-awak warga Vietnam dan tujuh awak-awak Indonesia yang bekerja di 10 bot pukat tunda pengusaha tempatan di sekitar perairan Selangor.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Azlisha Abdul Aziz berkata kesemua mereka yang berumur antara 22 hingga 60 tahun ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen kebenaran menangkap ikan, menggunakan saiz mata pukat keroncong tunda kurang daripada 38 milimeter dan menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan. — Bernama

 

Advertisement