KUALA LUMPUR: Gara-gara menceroboh kawasan landasan monorel, seorang penganggur semalam dijatuhi hukuman penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret di sini.
Mohammad Jamad, 38, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah melakukan kesalahan berkenaan di landasan monorel, Jalan Maharajalela di sini, jam 11.45 malam, 12 Feb lepas.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan yang mendengar kes itu turut menjatuhkan hukuman penjara seminggu atas kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan dan memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak bermula tarikh dia ditangkap, 12 Feb lepas.
Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan tetapi Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kerana tindakan tersebut bukan sahaja mengundang bahaya kepada diri sendiri bahkan kepada pengguna monorel yang lain. — Bernama