Anda di sini

KPDNKK rampas 600 tong gas LPG bersubsidi, tahan empat lelaki

Advertisement

PORT DICKSON: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 600 tong gas petroleum cecair (LPG) dan memberkas empat lelaki yang disyaki terlibat di dalam kegiatan penyelewengan gas subsidi di Kampung Bukit Kempas, Pengkalan Kempas Linggi, dekat sini, tengah hari semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata daripada jumlah itu, 300 buah merupakan tong gas domestik manakala 300 buah lagi ialah tong gas industri.

“Turut dirampas tiga buah lori, di mana keseluruhan jumlah rampasan mencatatkan sebanyak RM200,000. Dalam operasi ini, empat lelaki warga asing ditahan terdiri daripada dua penyelia kawasan kegiatan penyelewengan LPG ini dan dua pemandu lori berumur dalam lingkungan 23 hingga 50 tahun.

Sementara itu, lima lagi lelaki dipercayai warga Myanmar berjaya melarikan diri ketika serbuan dijalankan bermula jam 12 tengah hari semalam. Dua lelaki yang ditahan didapati cuba merasuah penguat kuasa KPDNKK dengan nilai RM5,000 walaupun telah dinasihatkan agar tidak berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Operasi yang melibatkan seramai tujuh penguat kuasa KPDNKK dan lima penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini dijalankan hasil risikan selama tiga bulan selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan berkenaan.

Katanya, aktiviti yang dijalankan di kawasan ini adalah memindahkan kandungan gas LPG dari tong domestik kepada tong industri sebelum diedarkan ke pasaran di Kuala Lumpur seperti hotel, kilang dan restoran-restoran besar dengan harga industri.

“Siasatan awal mendapati kegiatan penyelewengan ini sudah beroperasi kira-kira dua tahun lepas di atas tanah yang disewa dengan penduduk tempatan,” katanya.

Iskandar Halim berkata dalam operasi itu pemilik premis didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 di mana dia boleh dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dua lelaki yang cuba merasuah penguat kuasa KPDNKK di siasat dibawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan, katanya. — Bernama

 

Advertisement