Anda di sini

Polis Sabah rampas lebih 7kg dadah bernilai lebih RM1.05j

KOTA KINABALU: Polis merampas 7.6 kg dadah jenis syabu bernilai RM1.05 juta dalam dua serbuan serentak di Terminal Dua, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah, Supt Abdul Rahim Dolmat berkata dalam kedua-dua serbuan itu, pihaknya turut memberkas dua suspek rakyat tempatan, dipercayai menjadi penghantar dalam aktiviti penyeludupan itu.

Katanya siasatan awal mendapati kedua-dua suspek diberi upah sehingga RM10,000 untuk setiap penghantaran dadah.

Menurutnya selepas memperoleh maklumat risikan yang mengesan dua penumpang sebuah pesawat tiba dari Johor disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan, pihak polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun di luar pintu ketibaan Terminal Dua KKIA.

“Semasa ditahan suspek membawa beg pakaian warna hitam jenama Camel dan pemeriksaan lanjut di dalam beg itu dijumpai dua kotak teh Cina mengandungi lapan bungkus plastik warna hitam dengan tulisan Cina ‘Oolong Teh’. Di dalam plastik itu dijumpai syabu dengan berat 4,030 gram (4.03kg),” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Serbuan di kawasan letak kereta di hadapan lapangan terbang berkenaan pula membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berumur 31 tahun.

“Sewaktu ditahan, suspek membawa sebuah beg coklat gelap jenama Beverly Hills Polo Club dan pemeriksaan lanjut di dalamnya dijumpai dua kotak teh Cina yang sama didapati pada suspek pertama dan tujuh bungkus plastik warna hitam ditemui yang di dalamnya mengandungi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu. Berat keseluruhan dadah itu 3,536 gram (3.54 kg),” katanya.

Abdul Rahim berkata kedua- dua suspek kini ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata sejak 1 Jan hingga kelmarin, seramai 2,060 individu ditahan berkaitan pelbagai kesalahan dadah di Sabah.

Katanya dalam tempoh sama tahun ini, jumlah rampasan dadah bagi jenis syabu ialah 10 kg, ganja (319.96 gram), ketamin (1.6 gram), ecstasy (empat biji) dan eramin (sebiji). — Bernama