Anda di sini

Pilihan raya kampus Politeknik capai objektif pemilihan MPP

Advertisement

BETONG: Dayang Nadihah Abang Aminudin telah dipilih sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS) bagi sesi kemasukan pelajar baharu bermula Disember lalu.

Pemilihan beliau sebagai wakil pelajar sekali gus dipertanggungjawab memimpin dan menjaga kebajikan pelajar PMBS untuk sesi ini.

PMBS telah mengadakan Pilihan Raya Kampus bagi tujuan pemilihan sebagai Majlis MPP bagi sesi kemasukan pelajar baharu bermula Disember lalu, di sini.

Sistem pilihan raya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang bertujuan untuk pemilihan MPP disifatkan mampu melahirkan pelajar yang matang dan memahami konsep kepimpinan.

Dalam pilihan raya tersebut, semua pelajar semester satu sehingga semester tiga menunaikan tanggungjawab  menentukan wakil yang  diharapkan dapat menyumbang idea dan pendapat serta membawa impak terhadap pelajar di IPT terbabit.

Pegawai Perhubungan Awam PMBS, Imelda Richard Fuchau menyatakan bahawa, sistem pemilihan yang dijalankan mungkin mengalami sedikit perbezaan dari segi konsep  tetapi masih menepati peraturan dan kaedah di bawah Akta 174.

“Perbezaan ini dilakukan sebagai menepati kehendak dan memastikan perwakilan pelajar dipilih adalah daripada kalangan yang benar-benar mantap serta mendapat sokongan secara majoriti. Objektif kita mengadakan pilihan raya ini adalah bagi melantik MPP untuk sesi baharu,” katanya ketika diminta mengulas perjalanan Pilihan Raya Kampus PMBS di Bilik Rekreasi PMBS, baru-baru ini.

Tambah Imelda, ia juga memberikan peluang kepada pelajar memilih wakil mereka melalui sistem demokrasi yang adil dan berkesan.

“Melalui pilihan raya yang kita adakan, PMBS memberikan penekanan proses sebelum, semasa dan selepas pilihan raya dan Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus bertanggungjawab ke atas perjalanan pilihan raya agar ia berlangsung dengan bersih dan mencapai objektif,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, pada kali ini sistem pemilihan adalah berasaskan kepada penamaan calon, pengundian dan penubuhan MPP.

“Pengundian dilaksana untuk memilih beberapa calon sahaja (ditetapkan) daripada kalangan calon menawarkan diri dari setiap jabatan.  Calon yang berjaya untuk bertanding pada pilihan raya boleh berkempen dalam majlis yang disedia jabatan dalam tempoh yang  ditetapkan.

Poster calon juga akan digantung sebagai iklan memaklumkan pencalonan kepada warga kampus.  Pengundian secara kertas undi dilaksanakan dan akhirnya calon menang akan menubuhkan jawatankuasa MPP PMBS,” jelasnya.

Advertisement