Anda di sini

PIBAKIS masih perlu RM2.1j

Advertisement

Oleh Connie Sylvia Mesa //

Bangunan baharu diharap dapat operasi hujung tahun ini

MIRI: Persatuan Ibu Bapa Kanak-Kanak Istimewa (PIBAKIS) Miri masih memerlukan RM2.1 juta bagi menyiapkan projek pembinaan bangunan baharu yang terletak di Lutong.

Presidennya Chiam Yun Chaw berkata bangunan itu kini siap 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai depan.

“Kami berharap bangunan itu boleh beroperasi penghujung tahun ini. Kami meminta kerjasama masyarakat setempat menghulurkan sumbangan bagi menjayakan projek ini,” katanya kepada media baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika bersama jawatankuasa penganjur larian amal ‘Care Run Together’ mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai di sini, kelmarin.

Terdahulu, Lai telah diterangkan mengenai larian amal oleh Pengerusi Penganjur Rupert Hii yang diadakan di bangunan baharu PIBAKIS pada 21 Mac depan.

Larian amal lima kilometer terbabit anjuran Green Summit Development Sdn Bhd dan Lions Club of Miri Mandarin.

“Kami menyasarkan RM40,000 bagi larian ini untuk membantu mengumpul dana menyudahkan bangunan baharu PIBAKIS nanti,” jelas Hii.

Larian itu akan dibahagi kepada tiga kategori lelaki dan wanita iaitu kategori A untuk berumur bawah 21 tahun, kategori B untuk 22 tahun hingga 50 tahun, manakala 51 tahun ke atas adalah kategori C.

Bayaran pendaftaran untuk larian itu ialah RM40 untuk seorang.

Baju-T akan diberi untuk 500 peserta pertama dan tiga pelari teratas bakal  menerima medal setiap seorang.

Mereka berminat menyertai, boleh berhubung dengan Hii pada  talian 012-8788599 atau Kelvin (016-8792447).

“Bagi mereka yang tidak mahu menyertai larian itu  tetapi ingin membantu, mereka boleh mendapatkan kad derma membantu mengumpul dana dalam kalangan masyarakat di sini,” ujarnya.

Borang penyertaan boleh didapati di pejabat Green Summit Development Sdn Bhd dan Lions Club of Miri Mandarin.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 13 Mac 2015.

Advertisement