Anda di sini

Pembalakan haram akan terus dibanteras

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Usaha Jabatan Hutan bukan menganiaya pemain industri, harus dilihat secara positif

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak sentiasa berusaha untuk membanteras serta memerangi pembalakan haram di negeri ini dan ia harus dilihat secara positif oleh semua pihak.

Pengarahnya, Sapuan Ahmad berkata, misi kerajaan yang dilaksanakan jabatan tersebut bukan untuk menganiaya pihak yang berada dalam industri pembalakan.

Malah menurutnya, tidak dinafikan kebanyakan pemain dalam industri tersebut mematuhi skop penuaian pokok secara berhemah dan berintegriti.

“Ini terbukti dengan peningkatan perolehan royalti kerajaan secara purata antara RM500 juta hingga RM700 juta setahun.

“Pendapatan ini bolehlah digunakan kerajaan untuk meneruskan program pembangunan terutama bagi meningkatkan taraf hidup masyarakar terutama yang tinggal di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Penghargaan Media Jabatan Hutan Sarawak dan Harwood Timber Sdn Bhd di sini, malam kelmarin.

Menurutnya lagi, wujud juga pihak yang sengaja mengambil kesempatan dengan tidak mematuhi peraturan bagi mengaut keuntungan dalam masa singkat.

“Mereka ini mengundang pelbagai masalah bukan sahaja melakukan pencerobohan dan menebang pokok di kawasan yang tidak sepatutnya tetapi pada jangka masa panjang akan merosakkan alam sekitar secara total.

“Pihak ini juga sanggup bertindak balas dengan apa cara sekalipun termasuk mencetuskan suasana tidak tenteram apabila berasakan kegiatan haram mereka terancam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengamal media dapat membantu terutama dalam memaparkan kejayaan operasi membanteras pembalakan haram yang turut menyelitkan unsur pendidikan dan kesedaran menjaga alam sekitar.

“Apabila kesedaran ini dapat diwujudkan, ia boleh membuka mata semua pihak untuk tidak memusnahkan alam sekitar walaupun atas nama pembangunan,” jelasnya.

Hadir sama Pengerusi Harwood Timber Sdn Bhd Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor.

Jabatan Hutan Sarawak dan Harwood Timber Sdn Bhd turut memberikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).

Advertisement