Anda di sini

NGO harus anjur program libat ahli, masyarakat: Daud

Advertisement

KUCHING: Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengatur serta menganjurkan program harus bersifat holistik merangkumi penglibatan ahli pertubuhan dan masyarakat luar.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ia bukan sahaja usaha dalam memantapkan modal insan ahli pertubuhan, bahkan pemantapan modal insan dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Jelasnya, pada masa sama, pertubuhan itu sendiri harus lebih kreatif dalam merangka program yang menjurus ke arah pembangunan sekali gus berupaya mengurang masalah sosial di negeri ini.

“Kita tidak mahu membiarkan masyarakat lain begitu sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sama-sama mendekati mereka menerusi penganjuran program dan aktiviti kemasyarakatan.

“Secara tidak langsung, aktiviti seumpama itu dilihat mampu dijadikan perhatian dan kaedah bagi mendekati serta membimbing golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi golongan yang terjebak dalam gejala sosial,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-13 Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Cawangan Sarawak di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini, semalam.

Menurut Daud, melalui peranan setiap NGO di negeri ini, ia juga mampu menangani masalah kekurangan tenaga kerja mahir dalam kalangan rakyat tempatan pada masa akan datang.

“Umum tahu, terdapat banyak NGO sedia ada yang menawarkan pelbagai kursus dan latihan berasaskan vokasional mahupun teknikal yang memberikan pengetahuan kemahiran kepada masyarakat, khasnya belia.

“Ia jelas memperlihatkan, NGO juga mementingkan pembangunan aspek kehidupan masyarakat, terutamanya golongan yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Justeru, ia boleh melahirkan tenaga kerja mahir untuk kepentingan pembangunan negeri secara menyeluruh,” jelasnya.

PPIM Cawangan Sarawak ditubuhkan 13 tahun lalu dengan bilangan seramai 4,730 ahli merangkumi bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Miri dan Bintulu.

Pada majlis itu, Daud yang juga merupakan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur turut memberikan geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM10,000 kepada PPIM Cawangan Sarawak untuk penganjuran aktiviti pada masa akan datang.

Hadir sama Pengerusi PPI Perhubungan Negeri Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi.

 

 

Advertisement