Anda di sini

MPP baharu dicabar letak UiTM Sarawak di peta dunia

Advertisement

Lahir mahasiswa profesional, sedia pendidikan berkualiti

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak baharu dicabar meletakkan universiti itu di peta dunia.

Perkara itu digesa oleh Rektor UiTM Sarawak Prof Dr Jamil Hamali yang mahu institut pengajian tinggi awam itu dikenali di seluruh dunia khusus dalam melahirkan mahasiswa profesional dan penyediaan pendidikan berkualiti di negara ini.

“Saya mencabar kepimpinan MPP bagi sesi 2014/2015 yang baharu dilantik supaya melakar satu sejarah kepada UiTM di peta dunia.

“Lahirkan mahasiswa profesional dan jadi sebuah universiti di Malaysia yang menyediakan pendidikan berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Malam Warisan Watikah Pelantikan MPP Sesi 2014/2015 dan Penghargaan Mantan MPP di sebuah hotel terkemuka di sini kelmarin.

Pada masa sama, Dr Jamil meminta pemimpin MPP baharu supaya tidak bersikap agresif agar pelajar di situ tidak berasa dipimpin seperti di penjara.

“Kita mahu barisan kepimpinan MPP mengurus pelajar dengan baik, penuh bertanggungjawab dan berpasukan supaya tidak tertekan dan gembira dipimpin anda semua,” tambahnya.

Menurutnya lagi, universiti bukan sahaja tempat menuntut ilmu tetapi sebagai tempat membentuk pelajar universal dari segi pendidikan dan kepimpinan.

“Kalau kita datang ke universiti setakat nak dapatkan ilmu sahaja dan tidak mencari peluang dilatih menjadi pemimpin, saya rasa ia satu kerugian besar,” jelasnya.

Justeru beliau berharap barisan MPP baharu dapat menyuarakan keperluan mahasiswa dengan proaktif dalam melicinkan pentadbiran universiti.

Hadir sama Timbalan Rektor UiTM (Bahgian Hal Ehwal Pelajar) Prof Madya Wan Akil Tuanku Abdullah, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik Prof Dr Rosita Suhaimi dan barisan MPP.

 

Advertisement