Anda di sini

Malaysia pilihan ke-9 pelajar luar negara lanjut pelajaran

Advertisement

Tahap pendidikan di Malaysia semakin berkualiti: Idris

KUANTAN: Malaysia kini menjadi destinasi pilihan kesembilan di dunia bagi pelajar luar negara yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ia membuktikan pendidikan di negara ini semakin berkualiti dan setaraf dengan negara-negara maju lain.

“Kita perlu sedar tahap pendidikan di Malaysia kini semakin berkualiti dan ia berlaku secara berterusan.

“Buktinya, ranking universiti kita bertambah baik. Bagi peringkat fakulti, sebanyak 11 fakulti menduduki 100 tangga teratas dunia sebagai contoh Universiti Sains Malaysia (USM) menduduki tangga ke-28 dunia bagi Fakulti Sains Alam Sekitar, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) menghuni tangga ke-54 dan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya menduduki tangga ke-83.

Maka tidak hairanlah respons yang diperolehi daripada 135,000 pelajar luar negara mendapati kita berada di nombor kesembilan dunia sebagai pilihan untuk menyambung pelajaran,” katanya selepas merasmikan Karnival Pengajian Tinggi Negara kali ke-11 di sini semalam.

Program anjuran bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas Negeri Pahang, Datuk Norol Azali Sulaiman mewakili Menteri Besar dan Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim.

Karnival bermula 4 Februari hingga 12 April itu menyediakan 120 tapak gerai dan menyasarkan seramai 60,000 pengunjung.

Idris berkata, selain kualiti pendidikan, perbelanjaan yang murah dengan pendidikan setaraf universiti di Barat juga antara faktor tarikan pelajar luar untuk datang ke Malaysia.

“Pelajar tidak perlu membayar tiga kali ganda untuk belajar di negara barat apabila mereka boleh mendapat tahap pendidikan yang sama di negara ini.

“Bukan sahaja pelajar dari China, negara Asia lain ataupun Indonesia bahkan telah ada pelajar Australia dan Jerman yang datang belajar di IPT (Institusi Pengajian Tinggi) kita seperti di Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Kalau negara Jerman boleh menerima kita, sekurang-kurangnya kita sudah setaraf dengan mereka,” katanya.

Katanya pelajar juga tidak perlu berasa rendah diri sekiranya menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan kerana Malaysia menawarkan sesuatu yang lebih holistik berbanding negara lain.

Sehubungan itu, katanya rakyat di negara ini dinasihatkan tidak terlalu bermegah dengan universiti luar negara kerana mereka dilihat semakin hilang hala tuju kerana terlalu liberal sedangkan Malaysia mempunyai asas yang kuat iaitu Rukun Negara. — Bernama

Advertisement