Anda di sini

LAKMNS pemilik sah Lot 192, Block 208, Kuching North Land District (Jalan Keretapi)

Advertisement

BUKTI: Pelan Lot 4308 Section 65 Kuching Town Land District yang telah disemak dan disahkan oleh Jabatan Tanah Dan Survei, Bahagian Kuching.

TIDAK DIDIAMI: Tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (Temporary Occupation Licence) di Lot 4308 Section 65 Kuching Town Land District yang diberi kepada arwah Litu bin Sudat yang masih kosong.

KUCHING: Merujuk kepada kenyataan yang dipetik daripada akhbar The Borneo Post bertarikh 8 Februari 2015 bertajuk “Cemetery Caretakers Upset with Eviction Order”, berkenaan tanah Lot 192, Block 208, Kuching North Land District, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) merupakan pemilik sah dan berhak ke atas tanah manakala keluarga arwah Litu Sudat merupakan penduduk setinggan yang tidak berhak menduduki tanah tersebut.

Sepanjang mereka menduduki tanah tersebut, pihak LAKMNS tidak pernah mengenakan sebarang bayaran dan ini bukan kali pertama LAKMNS mengarahkan mereka untuk mengosongkan tanah berkenaan.

LAKMNS telah mengadakan rundingan bersama penduduk setinggan sejak tahun 80-an lagi tetapi mereka tetap enggan berpindah.

Bermula tahun 80-an, LAKMNS telah mengarahkan arwah Litu Sudat dan keluarganya berpindah keluar dari Lot 192 Block 208 Kuching North Land District dan beliau bersetuju untuk berpindah.

Atas usaha LAKMNS dan Kerajaan Negeri Sarawak, arwah Litu Sudat telah diberi sebidang tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (Temporary Occupation Licence) di Lot 4308 Section 65 Kuching Town Land District.

Pihak LAKMNS telah memberi bayaran sagu hati kepada beliau, malah, atas dasar ihsan LAKMNS telah sekali lagi memberi wang pemindahan atau sagu hati kepada arwah Litu Sudat.

Walaubagaimanapun, arwah Litu Sudat dan keluarganya masih ingkar untuk berpindah keluar dari tanah tersebut.

Pada 2013, pihak LAKMNS mendapati penduduk setinggan masih menduduki tanah tersebut. LAKMNS telah memberi Notis untuk Keluar dan Menyerah Milikan (Notice to Quit and Deliver Vacant Possession) melalui surat guaman lantikan LAKMNS bertarikh 12 Mac 2013.

Perjumpaan telah diadakan bersama penduduk setinggan dan LAKMNS telah mengemukakan beberapa tawaran wang pampasan perpindahan kepada ahli keluarga penduduk setinggan tetapi tawaran-tawaran tersebut ditolak oleh mereka. Masa yang panjang juga telah diberi kepada penduduk setinggan untuk berpindah sejak tahun 2013.

Setelah rundingan secara aman gagal, LAKMNS terpaksa mengambil tindakan undang-undang sebagai pemilik sah tanah apabila penduduk setinggan masih enggan berpindah keluar dari tanah tersebut.

Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 9 Mei 2014 di bawah suit nombor KCH-24NCvC-5/9-2013 membuktikan LAKMNS merupakan pemilik sah tanah. Perintah Mahkamah itu telah dikuatkuasakan oleh Bailiff Mahkamah dan Peguam Lantikan LAKMNS yang telah pergi ke tanah tersebut sebanyak tiga kali iaitu pada 14 Julai 2014, 4 September 2014 dan 2 Oktober 2014 untuk mengarahkan penduduk setinggan berpindah keluar tetapi mereka masih ingkar untuk berpindah.

Atas dasar ihsan, Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak juga telah membantu penduduk setinggan mendapatkan sebuah rumah pangsa untuk disewa tetapi mereka menolak tawaran tersebut.

LAKMNS tiada pilihan selain mengambil tindakan yang lebih tegas bagi melindungi hak sebagai pemilik tanah.

Wakil LAKMNS dan Peguam Lantikan LAKMNS memaklumkan penduduk setinggan bahawa mereka dikehendaki berpindah berdasarkan Perintah Mahkamah bertarikh 9 Mei 2014 sebanyak dua kali iaitu pada 22 Januari 2015 dan 31 Januari 2015 di mana tarikh terakhir yang diberi kepada penduduk setinggan untuk berpindah adalah pada 14 Februari 2015.

 

Advertisement