Anda di sini

BETA yakin mampu pertingkat perkhidmatan teksi eksekutif

Advertisement

BINTULU: Persatuan Teksi Eksekutif Bintulu (BETA) yang baharu dilulus penubuhannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 30 Januari 2015 lalu akan memberi perkhidmatan terbaik menerusi khidmat penuh etika, memenuhi kepuasan dan kehendak pelanggan di bahagian ini.

Dalam mesyuarat diadakan di New World Suites malam kelmarin, BETA dalam kenyataannya menjelaskan Perkhidmatan Teksi Eksekutif diperkenal di Bintulu pada akhir tahun 2010.

Pada Jun 2011, sebanyak tiga teksi eksekutif jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova beroperasi di Lapangan Terbang Bintulu, namun hanya sebuah teksi aktif pada masa itu.

Pada tahun ini (2015) jumlah teksi eksekutif beroperasi di Bintulu menunjuk peningkatan sekali gus memberi galakan kepada pemandu teksi menubuhkan persatuan dikenali sebagai BETA.

Mereka berkeyakinan dengan penubuhan BETA, ia mampu meningkatkan lagi operasi teksi itu apatah lagi dengan kerjasama 21 ahli serta 20 unit teksi eksekutif yang mempunyai empat hingga enam tempat duduk.

Stesen operasi teksi itu ialah di Lapangan Terbang Bintulu serta laluannya merangkumi Bintulu-Miri dan Limbang.

Lesen Teksi Eksekutif itu dikeluar oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

BETA diterajui Pengerusinya, Philip Apau Muda, penolong pengerusi Huong You Yun, setiausaha Wong Tung Huat, bendahari Abdul Rani Wasli dan ahli jawatankuasanya terdiri daripada Hii Tok Teck dan Majidi Morshidi.

Berikut merupakan tambang yang ditetapkan  BETA dari Lapangan Terbang Bintulu ke Bandar Bintulu (1-4 penumpang dan 5-6 penumpang) RM39 dan RM52; Medan Jaya/Medan Raya/ Assyakirin (RM35/RM52); MLNG/SMDS/ABF/BIF/Bintulu Port (RM52/RM61); UPM/Hospital Bintulu/Sunyai Nyigu (RM39/RM52); Kawasan Parkcity/Tanjung Batu (RM39/RM52) dan Perumahan MLNG/ABF/RPR Kidurong (RM43/RM52).

Perkhidmatan teksi itu boleh dihubungi dan ditempah untuk pengambilan penumpang sama ada di hotel, rumah ataupun di lapangan terbang.

Advertisement