Anda di sini

Belia berperanan tentukan bentuk transformasi politik

Advertisement

SAMARAHAN: Peranan belia dalam mencorak landskap politik dapat menentukan bentuk transformasi politik yang diinginkan sejajar dengan perubahan zaman, kata Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Prof Datuk Dr Jamil Hamali.

Justeru, beliau menasihati golongan belia agar perlu lebih matang dalam menilai dengan kritis sesuatu isu yang diketengahkan oleh pihak yang sentiasa ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

“Seringkali kita dengar slogan dan kata-kata semangat seperti Belia Merupakan Aset Negara, Belia Harapan Bangsa, Belia Hari Ini Pemimpin Hari Esok dan banyak lagi.

“Bagaimanapun, persoalannya adakah ramai dalam kalangan mereka (belia) sedar akan tanggungjawab besar itu sehingga mereka dinilai sebagai harta kepada negara?

“Oleh itu, forum politik diharap dapat memberi pendedahan awal kepada para belia di peringkat universiti khususnya mengenai peranan mereka di dalam pembangunan politik tanah air,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Sarawak Prof Madya Wan Akil Tunku Abdullah semasa Forum Politik Malaysia di Auditorium 2, Blok B, Kampus Samarahan Dua di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Dr Jamil menjelaskan kerajaan telah melaksanakan pelbagai program dalam memacu pembangunan negara dalam aspek yang sentiasa mengharapkan penglibatan golongan belia sebagai input kepada negara dalam pembuatan dasar serta perancangan kerajaan.

Dalam pada itu, forum bertajuk Peranan Belia Dalam Politik itu merupakan anjuran persatuan pelajar dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi.

Bersama moderatornya Salahuddin Shaharuddin, tiga ahli panel jemputan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Belia Surai Anthony Abell dan Pensyarah Fairuz Hidayat Merican.

Terdapat tiga sesi diadakan iaitu hujah dan pandangan ahli panel mengenai peranan belia dalam politik semasa diikuti soalan kepada ahli panel dan sesi soal jawab bersama penonton.

Sementara itu, Snowdan semasa menyampaikan hujahnya menasihati pelajar khasnya belia yang bakal memimpin negara pada masa hadapan agar sentiasa bertindak dengan akal fikiran dan bukannya emosi.

Beliau turut menasihati pelajar agar tidak melibatkan diri dengan terlalu serius dalam bidang politik, namun berharap mereka menggunakan peluang mereka di universiti untuk mengikuti perkembangan politik di Malaysia terlebih dahulu.

Bagi Surai, beliau mencadangkan pelajar mendapatkan pengalaman bermula pada peringkat persatuan di universiti sebelum terlibat dalam dunia politik sebenar yang lebih mencabar.

Dalam pada itu, Fairuz menegaskan bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu bagi melindungi pelajar agar tidak terlibat dengan perkara yang menyalahi undang-undang.

“Bagi soalan bertanyakan sama ada AUKU masih relevan, ia masih diperlukan kerana golongan pelajar masih memerlukan panduan dan batasan.

“Golongan belia memerlukan satu panduan dan AUKU memastikan bahawa pelajar tidak melibatkan diri dengan persatuan atau organisasi yang menyalahi undang-undang (yang mana boleh membawa mudarat kepada fizikal dan mental mereka),” jelasnya.

Hadir pada forum tersebut Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Unit, Pensyarah serta lebih 100 pelajar.

 

Advertisement