Anda di sini

PAS, BN Selangor lahir rasa sedih atas pemergian Nik Aziz

Advertisement

SHAH ALAM: PAS Selangor melahirkan rasa sedih yang teramat sangat atas kembalinya ke rahmatullah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat malam kelmarin.

Setiausaha PAS Negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata parti itu kehilangan seorang tuan guru, pimpinan politik, pendidik dan tokoh agama yang dihormati semua pihak tanpa mengira kaum.

“Kehadiran puluhan ribu rakyat di Pulau Melaka untuk penghormatan terakhir menunjukkan kemuliaan yang Allah berikan kepada Allahyarham Nik Aziz serta keberkesanan pendekatan yang ditunjukkan oleh Allahyarham semasa beliau menjadi menteri besar Kelantan dan guru agama.

“Didikan dan contoh yang ditunjukkan oleh Nik Aziz semasa memimpin negeri Kelantan telah banyak mengubah landskap politik tanah air dengan tafsiran Islam dan perkara itu diterima semua,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga bekas menteri besar Kelantan itu, Mohd Khairuddin berkata kehilangan Nik Abdul Aziz bukan sahaja dirasai anggota keluarga dan kenalan rapat malah turut dirasai pemimpin dan rakyat di negara ini.

Pengerusi Barisan Nasional Selangor Datuk Noh Omar menyifatkan Nik Abdul Aziz tokoh agama yang banyak berjasa dalam arena politik.

Beliau merupakan antara pemimpin yang paling lama berkhidmat untuk rakyat dan turut dihormati sebagai ulama berbilang, katanya.

“Saya bagi pihak BN Selangor mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Nik Abdul Aziz, 84, menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan pada jam 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Allahyarham dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat. — Bernama

Advertisement