Anda di sini

Nik Aziz banyak mencorak politik negara

Advertisement

NIK AZIZ

PUTRAJAYA: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah banyak mencorakkan landskap politik negara dan kehilangannya meninggalkan satu kelompongan besar, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau, yang juga Ketua Pemuda UMNO, berkata bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS itu adalah seorang tokoh politik dan agama yang telah banyak mempengaruhi pelbagai peringkat masyarakat terutama orang muda.

“Ramai pengikut Allahyarham adalah orang muda dan saya sebagai orang muda dalam UMNO menghormati beliau sebagai seorang tokoh politik.

“Sudah pasti pemergiannya walaupun berbeza dari segi ideologi politik adalah satu kehilangan besar kepada negara. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham terutama kepada anaknya Nik Mohamad Abduh yang saya kenal,” katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian ‘Onboarding Session’ Makmal Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz, 84, menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan pada jam 9.40 malam kelmarin, kira-kira sejam selepas pulang daripada Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Allahyarham dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata beliau menghormati Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang bersandarkan kepada nilai-nilai yang boleh dikongsi bersama walaupun terdapat perbezaan ideologi politik.

“Saya sedih kita kehilangan seorang tokoh yang telah banyak mencorakkan politik negara kita.

“Dari segi politik kami tidak bersama tetapi pemergian beliau memberi peringatan kepada kita semua bahawa personaliti itu merupakan sesuatu yang sementara dan kita semua akan pergi suatu hari nanti,” katanya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula berkata Allahyarham Nik Abdul Aziz adalah seorang pemimpin yang telah memberi khidmat yang besar, bukan hanya di Kelantan tetapi juga di peringkat nasional semasa bergelar seorang anggota Parlimen suatu waktu dahulu.

Sebagai seorang pemimpin, katanya, Allahyarham banyak memberi sumbangan kepada tanah air sejajar dengan pengalaman beliau yang begitu lama dalam arena politik negara.

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga Nik Abdul Aziz, khususnya anak beliau Nik Abduh yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan watikah pelantikan Pemaju Masyarakat Risda (PMR) di Institut Kemajuan Desa (Infra) di Bangi dekat sini semalam. — Bernama

Advertisement