Anda di sini

Kaunselor ditempatkan di setiap pusat pemindahan banjir

Advertisement

TEMERLOH: Seorang kaunselor dengan dibantu oleh tiga sukarelawan akan ditempatkan di setiap pusat pemindahan banjir selepas ini bagi membantu mengatasi masalah kemurungan dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ia antara usaha kementerian menambah baik pengurusan bantuan banjir di pusat pemindahan hasil maklum balas ekoran kejadian banjir baru-baru ini.

“Jika kita lihat di pusat pemindahan apabila sudah masuk hari ketiga di tempatkan di pusat itu, ada di antara mangsa terutama wanita yang telah mula termenung teringatkan harta benda mereka.

“Begitu juga dengan kanak-kanak, walaupun mereka nampak gembira dengan berlari ke sini sana, namun sebenarnya mereka juga mengalami trauma dan hal inilah yang perlu kita urus dengan baik dengan menempatkan kaunselor daripada Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghargaan dan penyampaian sumbangan kepada 83 warga jabatan dan agensi di bawah KPWKM di negeri ini yang terlibat dalam bencana banjir di Sekolah Menengah Seri Tualang, Temerloh di sini semalam.

Rohani berkata dalam kejadian banjir baru-baru ini, kaunselor dari LKM bergerak dari satu pusat pemindahan ke pusat pemindahan lain menyebabkan mereka tidak menyelesaikan secara teliti kes kemurungan yang dialami mangsa.

Katanya LKM mempunyai 7,000 kaunselor bertauliah yang mampu melaksanakan tugas pengisian masa mangsa banjir termasuk dengan memberikan ceramah kebersihan diri, soal keselamatan dan kaunseling selain dibantu oleh agensi kerajaan yang lain.

Sementara itu, katanya kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan sebanyak RM9.2 juta untuk bantuan bencana banjir setakat ini.

Selain bantuan makanan, peruntukan itu juga telah digunakan untuk membeli peralatan seperti khemah, tikar khas dan pembahagi (partition) sebagai langkah penambah baik yang dilakukan dalam pengurusan bencana di pusat pemindahan.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan JKM akan lebih bersedia dalam menghadapi musibah banjir pada masa akan datang daripada segi peralatan mahupun pengurusan pengisian masa mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan. — Bernama

 

Advertisement