Anda di sini

Waspada sindiket jual kereta seludup: Kastam

Advertisement

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Perlis menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket kereta seludup yang menawarkan kereta mewah pada harga murah.

Pengarahnya, Datuk Mohd Pudzi Man berkata lima pembeli di negeri ini menjadi mangsa sindiket itu pada Januari lepas.

Beliau berkata hasil risikan, jabatan itu berjaya mengesan lima buah kereta seludup itu iaitu masing-masing sebuah BMW, Honda Oddessy, Honda Stream dan dua buah Toyota Wish di Kuala Perlis dan Kangar.

“Siasatan mendapati kenderaan tersebut diseludup dari Singapura dan dijual pada harga sangat murah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi jabatan itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Padang Besar, semalam.

Katanya sindiket itu juga dikesan mengeluarkan cukai jalan palsu dan menurutnya Jabatan Kastam akan menimbang pemberian sagu hati kepada mereka yang memberi maklumat tentang anggota sindiket itu.

Mohd Pudzi berkata Jabatan Kastam Perlis turut memperketat kawalan di  pintu masuk Malaysia/Thailand bagi membanteras penyeludupan mercun, bunga api dan minuman keras yang biasanya meningkat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.

Jabatan menempatkan lebih ramai anggota tidak berunifom bagi membanteras kegiatan itu katanya.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 260 syarikat di Perlis yang merekodkan pendapatan lebih RM500,000 didapati belum berdaftar bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun cukai itu akan dilaksanakan 1 April ini.

“Kami menghantar surat berdaftar kepada mereka mulai semalam. Mereka mempunyai masa sehingga 28 Februari ini untuk datang ke jabatan ini (untuk daftar GST) kerana mulai 1 Mac Jabatan Kastam akan membuat operasi besar-besaran ke seluruh negara.

“Syarikat-syarikat ini patut mengambil kesempatan lanjutan tempoh pendaftaran yang diberikan oleh kerajaan,” katanya dan menurutnya syarikat yang gagal berdaftar selepas tempoh lanjutan itu akan diambil tindakan mahkamah.

Katanya Jabatan Kastam telah mengadakan lebih 100 siri penerangan dan dialog dengan syarikat-syarikat serta pihak-pihak berkepentingan berhubung GST. — Bernama

Advertisement