Anda di sini

Shahrol sedia tambah koleksi

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Sarawak bakal melayan kunjungan Terengganu esok pada aksi kedua Liga Super 2015

KUCHING: Pemain tengah Sarawak, Mohd Shahrol Saperi berazam untuk menambah koleksi gol pada perlawanan kedua saingan Liga Super 2015 menentang Terengganu di Stadium Negeri, Sabtu ini.

Selepas menjadi penyelamat Sarawak dengan jaringan penyamaan ketika menentang Felda United pada Sabtu lepas, keyakinan Shahrol untuk terus menjaringkan gol semakin memuncak.

“Memang menjadi impian setiap pemain untuk menjaringkan gol namun ia bergantung dengan nasib. Jika ada rezeki kita pasti dapat menjaringkan gol.

“Jaringan pada Sabtu lepas membakar semangat saya untuk terus menyumbang kepada Sarawak dan jika boleh saya mahu menambah koleksi gol,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurut Shahrol, musim ini agak berbeza baginya kerana beliau bebas sepenuhnya dari kecederaan.

Faktor tersebut menjadi penyumbang kepada aksi terbaiknya ketika ini dan semasa pra-musim.

“Syukur kerana setakat ini saya masih bebas dari kecederaan dan berharap keadaan ini berkekalan hingga tamat musim.

“Berbanding pada awal musim 2014 di mana saya lebih banyak berehat kerana kecederaan dan ia merencatkan sedikit prestasi sepanjang musim tersebut,” tambahnya.

Shahrol menambah, gandingannya dengan pemain import, Ivan Fatic juga semakin menampakkan keserasian dan percaya mereka dapat menjadi ‘partner’ yang baik dalam padang.

Katanya, corak permainan Ivan juga jauh berbeza dengan bekas pemain pertahanan Sarawak, Junior Eldstal.

“Bagi saya, Ivan seorang pemain yang mempunyai visi di mana beliau turut serta membantu mencari jalan untuk menjaringkan gol selain pada masa yang sama mempertahankan gawang pasukan.”

Advertisement