Anda di sini

KKMM kumpul RM2.23 juta untuk bantu mangsa banjir

Advertisement

Hasil sumbangan orang ramai menerusi khidmat SMS

CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumpul RM2.23 juta hasil sumbangan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk membantu mangsa banjir, kata menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata kutipan Tabung Kemanusiaan kelolaan KKMM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bermula 24 Dis tahun lepas hingga 31 Jan lepas, akan diserahkan kepaa Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Feb ini.

“Derma melalui SMS merupakan satu platform baharu untuk mengumpul sumbangan dengan mudah dan ia telah mendapat sambutan yang memberangsangkan di kalangan rakyat Malaysia yang prihatin.

“MKN akan menyusun segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan KKMM di Ibu Pejabat SKMM di sini semalam.

Turut hadir pada perhimpunan bulanan itu Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh dan Pengerusi SKMM, Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Ahmad Shabery berkata kementerian dan SKMM akan berbincang bagi membuka semula kutipan Tabung Kemanusiaan Banjir.

“Perkara ini serah kepada pengerusi SKMM,” katanya sambil menambah amaun kutipan kali ini mengatasi kutipan Tabung Gaza dan bencana taufan Haiyan di Filipina yang dilancarkan sebelum ini.

Kutipan sumbangan akan dikelolakan KKMM bersama SKMM serta beberapa syarikat telekomunikasi termasuk Celcom, DiGi Telecommunications Sdn Bhd dan Maxis Berhad.

Derma dibuat dalam amaun RM1, RM3, RM5, RM10, RM15, RM20, RM30, RM40 dan RM50 melalui SMS.

Sementara itu, dalam amanatnya pada perhimpunan bulanan tersebut, Ahmad Shabery berkata semua jabatan dan agensi di bawah KKMM merupakan satu ‘story box’ yang berperanan untuk menyampaikan maklumat tepat dan terkini kepada rakyat.

Beliau berkata KKMM dengan agensi-agensi di bawahnya seperti Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Bernama, dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memainkan peranan sebagai penglipur lara untuk membentuk persepsi.

“Bercerita merupakan urusan teras kementerian ini. Sehubungan itu, kita perlu memainkan peranan strategik dalam komunikasi dan pembentukan persepsi,” katanya. — Bernama

Advertisement