Anda di sini

Kenderaan barangan tidak dibenar guna jalan raya 17,18, 21, 22 Feb

Advertisement

Kurangkan risiko kemalangan, orang ramai ambil peluang balik kampung

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menetapkan  kenderaan barangan tidak dibenar menggunakan jalan raya pada 17, 18, 21 dan 22 Feb ini berikutan sambutan Tahun Baharu Cina.

Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa waktu puncak bagi menyenangkan pengguna jalan raya pulang ke kampung selain mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Selain itu, had laju bagi Jalan Persekutuan diturunkan daripada 90km/sejam kepada 80km/sejam, manakala bagi Jalan Negeri diturunkan 80km/sejam kepada 70km/sejam, mulai semalam hingga 26 Feb, katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya peringkat kebangsaan sempena Tahun Baharu Cina di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di sini.

Liow berkata Ops Bersepadu Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula semalam hingga 27 Feb akan melibatkan lebih 3,000 anggota dan pegawai penguat kuasa.

Beliau berkata operasi itu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Liow berkata penguatkuasaan JPJ akan memberi fokus dalam menjalankan pemeriksaan ujian air kencing terhadap pemandu bas bersama Agensi AntidadahKebangsaan (AADK) di 30 terminal bas di seluruh negara dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh operasi berkenaan.

“Antara operasi lain yang dilakukan adalah menempatkan anggota di lokasi statik di setiap 30 kilometer jalan-jalan utama negeri di seluruh negara secara 24 jam, 16 jam dan lapan jam, mengikut kesesuaian lokasi.

“Operasi ini turut membabitkan pemeriksaan rawak, penyamaran, penguatkuasaan motosikal serta mengawal aktiviti ulat tiket,” katanya.

Setiap tahun Kempen Keselamatan Jalan Raya diadakan untuk menyedarkan dan mendidik pengguna jalan raya agar lebih mengutamakan keselamatan diri dankeluarga serta pengguna jalan raya yang lain. — Bernama

Advertisement