Anda di sini

Kempen pelancongan promosi perkhidmatan teksi, kata Nazri

Advertisement

SEPANG: Inisiatif atau program yang memberi penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatan teksi akan dipromosikan dalam kempen pelancongan negara, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Katanya, usaha menambah baik mutu perkhidmatan teksi menjadi fokus utama kementerian untuk menarik lebih ramai pelancong dan peluang memperbaiki rankingKuala Lumpur, yang menduduki tempat keempat sebagai bandar beli-belah terbaik di dunia oleh CNN Travel untuk 2012 dan 2013, selepas New York, Tokyo dan London.

“Kemudahan teksi di Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur juga harus ditambah baik kerana ia akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelancong asing tetapi yang lebih penting untuk keselesaan rakyat,” katanya.

Bercakap kepada media selepas merasmikan CAB2klia, aplikasi khusus untuk menempah teksi tambang tetap ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini semalam, Nazri berkata kerajaan akan memberi sokongan terhadap usaha yang membantu usaha memperbaiki sistem pengangkutan awam.

Katanya, aplikasi CAB2klia, yang dibangunkan Mesra Indah Jaya Sdn Bhd dan Taxi Monger Sdn Bhd, akan dipromosi dalam program kementerian bagi menggalakan pelancong menggunakan perkhidmatan itu.

Nazri berkata memandangkan tambang tetap ditawarkan, pengguna CAB2klia  tidak akan dikenakan caj tambahan dan tidak perlu merunding harga serta menjamin ketelusan serta kepastian kepada penumpang.

“Kemudahan ini amat penting dalam menangani persepsi kurang baik pelancong terhadap industri teksi Malaysia berikutan perbuatan negatif segelintir pemandu teksi,” katanya. — Bernama

Advertisement