Anda di sini

GST di Malaysia tidak membebankan rakyat: Pengarah Bahagian GST

Advertisement

KOTA KINABALU: Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April ini tidak akan membebankan rakyat, kata Pengarah Bahagian GST, Jabatan  Kastam Diraja Malaysia Datuk Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata ini kerana model GST di Malaysia dibuat berdasarkan kajian terhadap sistem GST di lebih 160 negara yang sudah melaksanakannya.

“Kalau kita tengok model (GST) kita, semua makanan asas tidak dikenakan GST … perkhidmatan kritikal dan penting untuk rakyat sama ada pengangkutan awam, pendidikan swasta, kesihatan swasta dan perkhidmatan kewangan tertentu, penggunaan air, penggunaan elektrik sehingga 300 unit, semua dikecualikan daripada GST,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat GST daripada perspektif perniagaan kepada pengamal media anjuran Jabatan  Penerangan Sabah dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di sini semalam.

Turut memberi taklimat ialah Setiausaha Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan Datuk S. Kumaran dan Low Swee Hon daripada Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK.

Subromanim berkata kajian yang dibuat mendapati negara-negara lain mengenakan kadar GST antara tujuh  hingga 27 peratus berbanding Malaysia pada kadar enam peratus dan terendah cuma Taiwan iaitu lima peratus manakala di Singapura tujuh peratus.

Beliau juga menjelaskan GST akan menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar keseluruhan 16 peratus yang dilaksanakan di negara ini sejak 1972.

Katanya pelaksanaan GST di negara ini diyakini akan meningkatkan daya saing eksport Malaysia, sekali gus memberi lebih pendapatan kepada Malaysia.

“Sistem GST itu sendiri adalah sangat cekap. Ini boleh memberi pendapatan lebih mantap kepada negara. Biasanya percukaian berasaskan penggunaan adalah lebih stabil dan tidak banyak turun naik disebabkan keadaan ekonomi. Jadi kerajaan boleh menjangkakan bahawa hasil sentiasa ada,” katanya. — Bernama

Advertisement