Anda di sini

Bekas MB Kelantan Nik Abdul Aziz meninggal dunia

Advertisement

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BAHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka di sini Khamis malam.

Allahyarham berusia 84 tahun.

Anak Allahyarham, Nik Mohamad Abduh berkata bapanya itu menghembuskan nafas terakhir di sisi anggota keluarga pada pukul 9.40 malam.

Allahyarham Nik Abdul Aziz yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Chempaka dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian di sini, kira-kira 8.40 malam.

Allahyarham dirawat di hospital itu sejak 19 Jan lepas kerana kanser prostat dan keadaan kesihatannya kian merosot sejak banjir Disember tahun lepas.

Nik Mohamad Abduh berkata jenazah Allahyarham ayahandanya akan disembahyangkan di Masjid Pulau Melaka yang terletak berhampiran rumahnya pada pukul 10 pagi Jumaat.

Beliau berkata jenazah Allahyarham kemudiannya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kampung berkenaan.

Allahyarham meninggalkan 10 orang anak dan isteri Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Orang ramai termasuk pelajar sekolah agama berhampiran rumah Allahyarham, dilihat membaca Al-Quran dalam masjid berkenaan.

Nik Abdul Aziz yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka merupakan menteri besar Kelantan kelima yang memegang jawatan itu dari 1990 hingga 2013.

Orang ramai termasuk penduduk di sekitar kampung berkenaan membanjiri halaman rumah Allahyarham sejak tersebarnya berita Nik Abdul Aziz meninggal dunia malam ini.

Jalan raya menuju ke rumah Allahyarham sesak dengan kenderaan sejauh beberapa kilometer sehingga anggota polis trafik terpaksa mengawal lalu lintas. – BERNAMA

Advertisement